
KHABAR angin tentang pembatalan Piala MFL bagi saingan musim depan untuk membantu meringankan beban kewangan pasukan bertanding sedang hangat dibahaskan di setiap platform media sosial.
Pelbagai reaksi dilontarkan oleh penyokong-penyokong bola sepak apabila Piala MFL dicadangkan supaya dimansuhkan pada musim depan.
Melihat situasi itu, pemerhati sukan, Afiq Rowley berpendapat kerajaan negeri wajar menanggung kos skuad Piala MFL jika ia terus membebankan pasukan-pasukan bertanding.
BACA LAGI: Lepas hilang Ivan Mamut, Exco FAM sahkan tonggak Terengganu alami ACL
BACA LAGI: Bantu Selangor pintas JDT II, Haykal Danish wajar diangkat lepas setia bersama Gergasi Merah
Dia juga menyifatkan jikalau kerajaan negeri bersetuju menghulurkan bantuan menanggung skuad belia itu ia dapat memberikan peluang kedua buat pemain-pemain muda terus bernafas.
"Pada pandangan semasa, saya rasa wajar kerajaan negeri untuk menanggung pasukan Piala MFL selepas kita lihat betapa sukarnya kebanyakan kelab untuk menanggung kos serta ada menghadapi isu tunggakan gaji.
"Bantuan pihak kerajaan negeri untuk menanggung skuad Piala MFL sedikit sebanyak dilihat mampu untuk meredakan isu kewangan yang dihadapi kebanyakan kelab dengan mereka boleh tertumpu kepada pasukan utama.
"Nasib-nasib pemain muda tidak akan terganggu, dan situasi kini dilihat lebih mengganggu pembangunan mereka kerana ada sesetengah daripada mereka sudah lama tidak merasai gaji yang merencatkan fokus mereka buat pasukan," katanya kepada Majoriti.
Manakala, bekas jurulatih Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ramon Marcote berpandangan kos Piala MFL sangat mahal untuk dipertandingkan dan mencadangkan agar pihak bertanggungjawab membuat kajian yang lebih mendalam untuk menjamin kesinambungan bola sepak di peringkat belia.
"Piala MFL mahal kerana ia dimainkan di seluruh negara, melibatkan kos perjalanan, hotel dan lain-lain. Sebenarnya, Piala MFL seperti Liga Perdana yang lama.
"Penting untuk mengkaji dengan teliti model latihan dan pertandingan yang boleh dilaksanakan di Malaysia bagi menjamin perkembangan pemain muda.
"Mungkin perlu dilakukan kajian mendalam mengenai model yang berjaya, mampan, dan sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia bagi menjamin kesinambungan bola sepak belia.
"Model dari Sepanyol, Perancis, Portugal, dan Itali telah terbukti berkesan dalam pembangunan dan latihan pemain muda," jelasnya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, di Malaysia mempunyai ramai pemain-pemain muda yang berkualiti namun memerlukan struktur yang baik untuk mengembangkan bakat-bakat mereka.
"Jika kelab-kelab yang melabur dan berusaha dalam pembangunan serta latihan pemain muda tidak mempunyai platform kompetitif yang menjamin perkembangan bakat mereka, adalah wajar bagi mereka untuk mempertimbangkan alternatif lain.
"Johor Darul Ta'zim (JDT) telah berusaha keras untuk membina struktur kukuh yang menghasilkan kejayaan dalam pembangunan pemain, Selangor juga sedang melahirkan bakat-bakat berkualiti, manakala Kedah, Kelantan, Pahang, dan lain-lain sentiasa mempunyai bakat semula jadi di negeri mereka.
"Di Malaysia, bakat sememangnya wujud bakat yang perlu dilindungi serta diberikan konteks, syarat, dan kemudahan yang sesuai untuk berkembang dan mencapai potensi maksimum, selain memastikan ia mempunyai struktur kompetitif yang baik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram