Selain Black, Farid Kamil dan Hazama juga dipetik jadi duta bantu Kedah tarik penaja


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Farid (kanan) yang disaksikan berdiri di sebelah kanan Mohd Daud dalam pertemuan mereka pada November lepas.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih menjadi pasukan yang tersakiti 2024/2025 selepas diuji pula dengan masalah kewangan apabila pada penghujung musim 2023 menyaksikan kegagalan pihak pengurusan untuk membayar gaji.

Kemelut kewangan terus melekat sehingga kini apabila ia membuka pintu kepada masalah lain seperti isu pemain memboikot sesi latihan, bintang import meninggalkan pasukan dan kehilangan jurulatih utama, Nafuzi Zain yang kini menjadi pengendali pasukan Bawah 23 Tahun negara.

Tidak dinafikan, ada satu ketika pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut didatangi oleh organisasi yang berminat untuk membantu memulihkan skuad Sang Kenari, namun persepakatan itu tidak termeterai.

BACA LAGI: Sudah 'move on' dari DSAT Group, khabarnya anak jati Kedah, Farid Kamil pula tampil berhasrat jadi penaja

BACA LAGI: Dulu Kedah 'gudang' bola sepak, sokongan tak putus tapi kini sudah berbeza — Wan Jamak

Antara yang pernah menunjukkan minat ialah konglomerat tempatan, Datuk Seri Azizul Tandek menerusi Mahsuri Medical Centre (MMC) yang ingin memulakan langkah untuk sepenuhnya mengambil alih pemilikan saham KDA FC.

Selepas tiada cara berhasil, Kedah mengambil inisiatif baharu untuk menjalinkan hubungan dengan rakan strategik dan memperkenalkan duta-duta rasmi dalam keluarga KDA FC sebagai alat penarik mengintai penaja.

"Semoga dengan keberadaan duta-duta rasmi dalam keluarga KDA FC, pihak pengeluar barangan dan perkhidmatan akan lebih tertarik untuk bekerjasama dengan KDA FC dan pihak pembeli pun akan lebih teruja untuk membeli barangan KDA FC sambil membantu kelab.

"Perjuangan dan komitmen kita masih membara walaupun ditimpa pelbagai cabaran. Pengorbanan para pemain dan pegawai KDA FC adalah luar biasa. Usaha terbaharu KDA FC ini bertujuan menyelamatkan kelangsungan KDA FC.

"Kalau ramai pihak di luar sana ingin membantu KDA FC dalam majlis ini, kenapa kita anak-anak Kedah masih tidak agresif dalam memberi talian hayat dengan apa sahaja yang mampu," tulis KDA FC pada laman Facebook mereka.

Usaha yang dilakukan Kedah itu disambut baik oleh penyokong dengan segelintir penyokong sudah mula meneka siapakah individu berpengaruh bakal menjadi duta rasmi skuad Hijau Kuning nanti.

Kedah berada di tangga ke-10 Liga Super setakat 17 perlawanan. — Facebook/KDAFC

"Jeng-jeng Farid Kamil mungkin," kata penyokong Sang Kenari, Armir Kedah.

"Black, Tomok dan Hazama ke," tanya pengikut Hijau Kuning, Angre Bird.

Antara nama-nama yang dipetik sesetengah penyokong itu, Farid dianggap paling sesuai selepas pelakon tanah air tersebut pernah melakukan pertemuan empat mata bersama pemilik majoriti kelab tersebut, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Bukan itu sahaja, hero filem Lagenda Budak Setan dan Evolusi KL Drift itu dikenali sebagai peminat tegar skuad Sang Kenari serta sentimennya sebagai anak jati Alor Setar, Kedah menguatkan spekulasi dia merupakan duta KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram