'Piala Malaysia main sini', Stadium Darul Makmur dicadang jadi venue lepas ura-ura Tok Gajah bakal 'terkubur'


  • Podium
  • Rabu, 19 Feb 2025

Stadium Darul Makmur mula berwajah baharu selepas kerja-kerja penanaman rumput baharu diselesaikan beberapa minggu lalu. — Facebook/Perbadanan Stadium PSDM

EPISOD duka berterusan dalam kem Sri Pahang FC apabila kemaraan ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 gagal menutup kisah kemelut kewangan dialami kelab Pantai Timur itu yang bertebaran di media sosial.

Berdasarkan luahan tersirat daripada pelbagai pihak, pemain dilaporkan tidak menerima bayaran sejak enam bulan lalu sehingga ada daripada mereka yang terpaksa mengikat perut.

Sekiranya masalah itu berterusan, terdapat kemungkinan skuad Tok Gajah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam Liga Super musim depan berdasarkan laporan media semasa.

BACA LAGI: Walau tak cemerlang atas padang, perubahan rumput Stadium Darul Makmur puaskan hati fans Tok Gajah

BACA LAGI: 'Cakap tutup nak buat padang', ada penyokong 'cemburu' pasukan ragbi lanyak Stadium Darul Makmur

alex2_1739613151

Masa depan skuad Tok Gajah dalam Liga Super terus kelam tanpa jawapan. Facebook/Sri Pahang FC

Bagaimanapun, di sebalik kemelut yang terus membelenggu kelab itu, masih terdapat sinar harapan dilihat peminat bola sepak di negeri tersebut apabila kerja-kerja menambah baik Stadium Darul Makmur, Pahang berjalan lancar.

'Rumah' Tok Gajah berkenaan tidak dapat digunakan musim ini berikutan operasi dilancarkan bermula musim lalu sehingga memaksa anak-anak buah Fandi Ahmad beraksi di Stadium MP Temerloh, Pahang.

Berdasarkan perkembangan dikongsikan di laman Facebook Perbadanan Stadium PSDM, venue perlawanan itu sudah kelihatan lebih baik berbanding sebelum ini dengan proses penanaman rumput baharu sudah selesai.

Menyedari perubahan positif di stadium berkapasiti 40,000 itu, penyokong Tok Gajah mengharapkan ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, termasuk sebagai lokasi penganjuran perlawanan akhir Piala Malaysia.

WhatsApp_Image_2025-02-19_at_3.17.03_PM

Stadium Darul Makmur menjadi venue penganjuran Pestabola Merdeka 2013.

"Bersyukur dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), setuju dengan aksi Piala Malaysia di sini," kata Zol Baharum.

"Mantap PSDM, rumput makin subur. Tetapi, sayangnya Sri Pahang yang dengar-dengarnya mahu menarik diri. Tidak mengapalah, biarlah rakyat jelata Sri Pahang gunakan sepenuhnya semua kemudahan yang ada," kata Sa'ari Zulkifli.

"Tidak sabar rasanya untuk masuk dan tengok stadium baharu," kata Bai Bai.

Sri Pahang FC akan bertemu juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan venue dan tarikh perlawanan masih belum ditetapkan kerana tidak mahu mengganggu perjalanan pihak lawan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Stadium Darul Makmur, Pahang juga tidaklah asing dalam menjadi lokasi penganjuran aksi bertaraf tinggi kerana majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Pestabola Merdeka 2013 pernah diadakan di situ.

Jadi, sekiranya perlawanan akhir Piala Malaysia diadakan di stadium berusia 52 tahun berkenaan, ia sudah tentu diterima penyokong di negeri Pantai Timur tersebut sebelum skuad Tok Gajah 'terkubur' daripada saingan Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram