
DALAM usaha membawa revolusi terhadap arena bola sepak negara, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat perubahan terhadap struktur organisasi mereka dengan memperkenalkan Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Pengumuman itu dibuat pada awal Disember lalu iaitu beberapa hari selepas Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan pengunduran daripada posisi tersebut setelah tiga tahun.
Pengalaman dimiliki Rossi sebagai Delegasi LaLiga ke Malaysia pada 2017 menjadikannya calon terbaik untuk memikul peranan itu dalam usaha MFL mengembangkan lagi operasi mereka.
BACA LAGI: Pendapatan hak siaran 'tak nampak bayang', objektif MFL bantu kelab Liga M adakah tercapai?
BACA LAGI: 'Setuju tanpa kompromi', fans senada dengan pengkritik, anggap MFL dikawal tangan ghaib
Bagaimanapun, pada Rabu, kisah sebaliknya pula berlaku apabila wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan Rossi tidak lagi bertugas sebagai CEO pengelola liga berkenaan.
"Difahamkan, Giorgio Pompili Rossi kini bukan lagi CEO MFL," tulisnya dalam satu ciapan di laman X.
Hantaran itu menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana badan pengelola tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesahihannya.
Namun, sekiranya Rossi tidak lagi memikul peranan tersebut, ia akan menjadi satu kerugian kerana dia masih belum sempat membuat sebarang perubahan ketara dalam tempoh enam bulan perkhidmatannya.
Kali terakhir namanya terpampang di dada media adalah apabila dia mengakui jadual saingan Liga Malaysia musim ini tidak teratur dengan penyelesaian akan diberikan pada kempen akan datang.
Tetapi, sekiranya dia tidak lagi memegang jawatan itu, perubahan hanya boleh dibawa penggantinya dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Shazli Shaik Mohd difahamkan menjadi pemangku sementara untuk mengisi kekosongan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram