'Setuju tanpa kompromi', fans senada dengan pengkritik, anggap MFL dikawal tangan ghaib


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

Tindakan MFL mengubah Liga M sejajar dengan AFC dan kalendar Eropah sebenarnya tidak membantu. — Gambar hiasan

BARU-BARU ini, isu stadium kosong menjadi topik hangat dibincangkan oleh pengikut bola sepak domestik dengan menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat direkodkan pada lima perlawanan minggu ke-19.

Pelbagai faktor dibincangkan menjadi asbab kepada masalah kemerosotan itu berlaku seperti kualiti pasukan yang bertanding dan ada juga mendakwa perubahan Liga Malaysia (Liga M) menjadi faktor ia semakin memburukkan keadaan.

Pengkritik sukan iaitu Sadek Mustafa menerusi Laporan New Straits Times baru-baru ini menyifatkan Liga M pada awalnya mempunyai sistem yang berfungsi sehingga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubahnya supaya sejajar dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kalendar Eropah.

BACA LAGI: Belum main tapi dah tahu kalah antara punca kemeriahan penyokong ke stadium merudum

BACA LAGI: 'Liga M sudah mati jiwa', juara datang bertandang pun tak mampu tarik fans 'home' ke stadium

Musim 2024 menyaksikan pengelola bola sepak berkenaan mengambil keputusan untuk mengubah landskap bola sepak negara bagi menyelaraskan waktu kejohanan tempatan sama dengan peringkat Asia.

Bukan itu sahaja, Sadek juga berpandangan bahawa bola sepak Malaysia berada pada tahap terendah sejak skandal mengatur perlawanan pada 1993 hingga1994, yang menyaksikan 84 pemain dikenakan tindakan.

Ketika itu, penyokong mengambil inisiatif untuk berhenti daripada menyokong bola sepak domestik selepas berasa ditipu oleh para pemain yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Komen Sadek itu juga disokong oleh rata-rata penyokong apabila kebanyakan mereka melihat MFL yang sepatutnya bertanggungjawab mengelola saingan domestik hanya menjadi boneka oleh tangan ghaib (hidden hand).

skandal

Keratan akhbar melaporkan Liga Malaysia pernah terpalit skandal mengatur perlawanan pada 1993-1994.

"Ada betulnya apa yang pengkritik (Sadek) katakan. Liga seolah-olah dikawal oleh tangan-tangan ghaib. Sebab itu tidak semeriah dulu," kata penyokong domestik, Kayrul Nyzam.

"Setuju tanpa kompromi," tambah penyokong bola sepak tempatan, Kamarul Hafiz Kusaidi.

"Liga M telah rosak, baik layan liga kampung," pendapat dari penyokong Liga M, Che Sufi.

Isu tangan ghaib sudah lama dibincangkan dalam kalangan bola sepak tempatan namun diskusi itu itu juga seolah-olah untuk menafikan kelemahan yang ada pada MFL dalam mengelola bola sepak domestik.

Bagaimanapun, tidak seharusnya kegagalan Liga M diletakkan 100 peratus ke atas MFL sedangkan ada sebahagian pasukan juga tidak mengambil inisiatif untuk menjaga pasukan mereka dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram