
BEK tengah Terengganu FC (TFC), Safwan Mazlan, bertekad menebus kesilapannya dalam aksi Terengganu FC (TFC) apabila turun berdepan Kuching City FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat ini.
Pada perlawanan di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu pemain berusia 23 tahun berkenaan pada awalnya membantu pasukan dengan gol pembukaan menerusi rembatan jarak jauh pada separuh masa pertama.
Namun, kesilapannya ketika melakukan tandukan membolehkan kapten KL City, Paulo Josue, menyambar peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1. Patrick Reichelt kemudian memastikan kemenangan KL City dengan gol pada separuh masa kedua menjadikan keputusan penuh 2-1.
BACA LAGI: 'Taktikal ke laut', hati fans Sang Penyu berkecai tersungkur di tangan KL City
BACA LAGI: Lepas Adam Nor Azlin, giliran kiper Pahang luah isi hati isu kewangan Tok Gajah
Disebabkan itu, pemain berketinggian 1.81 meter berkenaan mengakui bertanggungjawab atas kesilapan tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki prestasinya sebagai seorang pertahanan.
"Saya tidak meletakkan usia saya yang masih muda ini sebagai alasan atas sebarang kesilapan yang saya lakukan dalam permainan kerana bagi saya, jika saya ingin kekal menjadi pilihan utama pasukan, soal usia saya harus ketepikan.
"Lagipun dalam TFC hampir separuh dari skuad kita adalah pemain yang masih berusaha 25 tahun dan ke bawah. Tiada alasan untuk saya melakukan kesilapan dengan sebab saya masih muda. Saya akui saya yang harus dipertanggungjawab atas jaringan pertama pasukan Kuala Lumpur tempoh hari.
"Saya ambil pengajaran ini untuk pastikan saya terus menerus dapat memperbaiki mutu permainan saya untuk diri dan pasukan Terengganu FC," katanya memetik hantaran TFC pada Facebook rasmi kelab itu.
Bagaimanapun, pertahanan kebangsaan berkenaan enggan terlalu terbeban dengan kesilapan tersebut kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada aksi seterusnya menentang Kuching City FC.
"Jika saya merasa hilang motivasi atas kesilapan yang saya lakukan itu dan terus memikirkannya, ianya akan terus menerus memberi kesan kepada permainan saya dalam permainan seterusnya.
"Jadi saya harus sentiasa meletakkan mentaliti saya di tahap tertinggi kerana saya ingin memberikan yang terbaik untuk pasukan bagi setiap perlawanan.
"Seterusnya kita akan bertemu Kuching City, sebuah pasukan yang sangat tajam di bahagian serangan, jadi pemikiran dan fokus saya harus memikirkan tentang pasukan ini dan apa yang perlu dilakukan bersama rakan sepasukan yang lain," katanya.
Skuad Sang Penyu bakal melayan kunjungan Kuching City dalam aksi Liga Super seterusnya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Februari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram