
KEHANGATAN saingan Netball Super League (NSL) 2025 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semakin menghampiri penghujungnya dengan empat pasukan yang mara ke separuh akhir kejohanan telah disahkan.
Dalam saingan liga satu pusingan melibatkan lapan pasukan bertanding sudah berakhir pada Ahad lepas. Empat pasukan yang tersenarai selepas tiga minggu berhempas-pulas ialah Johor Jewels, Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Perak Phoenix dan Putrajaya Dynamites.
Menerusi akaun media sosial rasmi NSL 2025, Perak Phoenix dijadual menentang Dynamites pada 4:30 petang, manakala Jewels pula akan beradu kekuatan menentang Wildcats di sebelah malam Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] KL Wildcats kekal rekod ‘perfect’ baham Johor, fans kecewa taktikal Jewels mudah dibaca
Dari semua pasukan yang mara ke semifinal, Johor Jewels pastinya pasukan yang mencuri perhatian selepas aksi kurang konsisten mereka musim ini meskipun bergelar sebagai juara bertahan NSL.
Jewels yang merekodkan dua kekalahan dalam tujuh perlawanan itu turut diuji dengan masalah kecederaan pemain utama mereka iaitu An Najwa Azizan dengan penyerang tersebut disisihkan dalam aksi menang 60-38 ke atas Pahang Tulips pada Ahad.
Berkongsi perkembangan terkini mengenai An Najwa, pengurus pasukan, Juanita Primrose Mariyam memberitahu bahawa penyerang berusia 28 tahun itu sedang dalam proses penyembuhan dan rehabilitasi.
"Dia akan buat recovery dan kami akan tengok keadaan dia. Selepas itu baru boleh tahu sama ada dia boleh main atau tidak. Saya pun tak boleh nak beritahu siapa yang akan bermain, semuanya bergantung kepada jurulatih.
"Kita ada taktik dan teknik sendiri, macam mana strategi kita untuk menurunkan pemain-pemain kita. Pastinya, kita akan guna yang terbaik dan akan berikan the best combination untuk separuh akhir," katanya kepada Majoriti.
Ditanya jika perlawanan separuh akhir pada Sabtu ini adalah misi balas dendam, Juanita Primrose tidak mahu melihatnya sebegitu rupa namun tetap memberikan yang terbaik untuk mara ke final.
An Najwa (dua dari kanan) merupakan tonggak utama Jewels. — Facebook/NSL
Untuk info, pasukan kendalian Tracey Robinson sebelum ini merekodkan kekalahan besar dengan keputusan 38-55 di tangan KL Wildcats dalam saingan minggu kedua di Stadium Juara pada 9 Februari lepas.
"Kita akan melakukan yang terbaik. Kita tiada nak balas dendam atau apa. Kita akan perbaiki permainan dan akan berikan yang terbaik untuk pastikan dapat slot ke final. Sekarang pun kami dah balik ke Johor.
"Kami akan tengok balik di mana bahagian-bahagian yang kami kena perhatikan dan kami akan beri latihan banyak di situ. Kami akan tengok balik game review untuk perlawanan menentang Wildcats," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram