[VIDEO] KL Wildcats kekal rekod ‘perfect’ baham Johor, fans kecewa taktikal Jewels mudah dibaca


  • Podium
  • Ahad, 09 Feb 2025

Antara momen Johor Jewels menentang KL Wildcats dalam saingan minggu kedua di Stadium Juara pada Ahad. — Facebook/NSL

JUARA bertahan Netball Super League (NSL), Johor Jewels merekodkan dua kekalahan berturut-turut-turut selepas tewas 38-55 di tangan Kuala Lumpur (KL) Wildcats dalam saingan minggu kedua di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Kekalahan pertama direkodkan oleh skuad kendalian Tracey Robinson itu dicatat ketika tewas 36-58 dalam aksi menentang Putrajaya Dynamites pada Sabtu.

Dalam aksi berkenaan, pertembungan tersebut sememangnya cukup ditunggu-tunggu oleh penyokong susulan Johor Jewels dan KL Wildcats merupakan juara serta naib johan untuk kempen NSL 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Ketajaman Thishala jadi mimpi ngeri, bantu Pahang Tulips raih kemenangan besar benam NS Venom

BACA LAGI: [VIDEO] 'Import kurang menyengat,' fans ramal Perak Phoenix balik awal lepas tewas di tangan Terengganu Marvels

Suku pertama permainan menyaksikan pasukan bimbingan Ching Li Li berhasil mendapatkan kelebihan tiga mata, 13-10. KL Wildcats melebarkan jurang dengan keputusan 26-19 pada suku kedua permainan.

Johor Jewels yang masih menurunkan tonggak utama mereka iaitu An Najwa Azizan, Adri Kannemeyer dan Haisya Maisara di bahagian hadapan bagaimanapun kurang menjadi untuk meraih lebih banyak mata buat pasukan.

Selepas segalanya serba tidak menjadi buat skuad dari Selatan tanah air itu, Johor Jewels terpaksa menerima hakikat tewas 38-55 di tangan skuad Lembah Klang tersebut.

Susulan kekalahan kedua itu, ramai peminat Johor Jewels terkejut dan meluahkan kekecewaan mereka terhadap taktikal yang dipertaruhkan oleh Tracie selaku pengendali pasukan.

“Tahniah Wildcats, Johor Jewels tidak lagi dominan. Taktik mereka sudah dapat di baca pihak lawan sekarang,” kata penyokong Jewels, Amin Nurudin.

“Lepas Johor Jewels tewas kepada Putrajaya, terus tidak teruja nak tengok. Johor Jewels main tidak menyengat berbanding pasukan lain. Pasukan lain nampak ada perubahan,” tambah penyokong Johor, Rozi Mohd Yusof.

“Taktikal Johor Jewels sudah semakin mudah dibaca,” pendapat penyokong Johor Jewels, Daim Zaini.

Kemenangan ke atas Johor Jewels itu melengkapkan malam gemilang KL Wildcats yang masih tidak merekodkan kekalahan dalam kempen NSL musim 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram