Pernah beraksi di Itali, Anselmo pengganti tepat Roque Mesa bantu JDT tempuh saingan ACLE?


  • Podium
  • Selasa, 18 Feb 2025

Anselmo dibawa masuk oleh JDT untuk menggantikan Mesa yang mengalami ACL. — JDT

PIHAK pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) begitu serius untuk melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) selepas mengumumkan ketibaan pemain import baharu, Anselmo Moraes dari Brazil.

Anselmo akan menggantikan Roque Mesa yang mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika aksi menentang Central Coast Mariners pada 11 Februari lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu dijangka membentuk satu gandingan menarik bersama Natxo Insa dan Jonathan Viera untuk menghadapi cabaran Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) Johor pada Selasa (18 Februari).

BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu wajar buru 3 import Liga Hong Kong 'salin' import otai musim depan

BACA LAGI: ‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’

Namun begitu sejauh manakah impak yang akan dibawa Anselmo di kem Harimau Selatan?

Kelab terdahulu

Anselmo mendapatkan ilmu bola sepaknya di Brazil bersama Palmeiras yang sudah membuktikan kredibiliti mereka menghasilkan pemain-pemain berkualiti sehingga menarik minat banyak kelab Eropah.

Endrick antara prospek hangat pernah dihasilkan oleh Palmeiras telah disambar oleh Real Madrid musim lalu.

Selepas graduasi dari Akademi Palmeiras, Anselmo menyertai Barueri sebelum berkelana ke Itali pada 2012.

Ketika di Itali, Anselmo mewakili US Palermo dan Genoa sebelum kembali ke Brazil kerana gagal menyesuaikan diri dan kurang mendapatkan minit permainan yang tinggi.

Selain Palmeiras dan Barueri, Morae telah menyertai Sao Caetano, Joinville-SC, Sport Recife serta Internacional sekali gus merekodkan lebih 200 penampilan di Liga Brazil.

Arab Saudi

Selepas lima tahun di negara kelahiran, Anselmo menerima tawaran kelab Arab Saudi, Al-Wehda yang sekali gus menjadi pengalaman pertama pemain nasional B-20 Brazil itu beraksi di benua Asia.

Prestasi menakjubkan bersama Al-Wehda dengan 24 gol serta 12 bantuan jaringan dalam 142 perlawanan telah menarik minat Al-Nassr untuk menyuntingnya pada musim 2021.

Anselmo ketika itu dibawa masuk bersama bintang-bintang dunia seperti Vincent Aboubakar, Gonzalo Martinez, Anderson Talisca dan Ramiro Mori.

Namun begitu, Anselmo tidak mampu bersaing dengan bintang-bintang lain untuk memberikan persembahan terbaik selepas hanya beraksi dalam 22 perlawanan liga.

Pada 2022, Anselmo kembali ke Al-Wehda dan bertahan bersama kelab itu sehingga 2024 sebelum dilepaskan pada Julai tahun lalu.

Kini Anselmo menyertai JDT dengan misi untuk membawa Harimau Selatan melangkah lebih jauh dalam saingan ACLE. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram