Terus bersinar sejak tinggalkan Man United, Antony cetak gol pertama Eropah buat Real Betis


  • Podium
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Sumbangan Antony membolehkan pasukannya mencatatkan kemenangan dalam pusingan pertama 'playoff' UECL. — Agensi

KEPUTUSAN pemain sayap Brazil, Antony untuk meninggalkan Manchester United dan menyertai Real Betis secara pinjaman pada jendela perpindahan musim sejuk berjaya membuahkan hasil.

Penampilan pertamanya dalam LaLiga menyaksikan penyerang berkenaan meraih anugerah pemain terbaik perlawanan setelah pasukannya membawa pulang satu mata penting ketika berdepan RCD Mallorca pada 3 Februari lalu.

Rentak cemerlangnya diteruskan ketika berdepan Celta Vigo lima hari kemudian apabila dia menjaringkan gol pertama buat kelab baharunya itu, namun tidak dapat mengelakkan pasukan tersebut daripada mengalami kekalahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan Manchester United, Antony terus dapat MOTM aksi debut bersama Real Betis

BACA LAGI: Antony hampir ganti Mo Salah

WhatsApp Image 2025-02-14 at 3.14.27 PM

Antony kelihatan selesa sejak menyertai Real Betis secara pinjaman. — Agensi

Sumbangan penting dalam kedua-dua perlawanan itu sekali gus menimbulkan spekulasi mengatakan Real Betis bersedia mendapatkan khidmatnya secara kekal pada musim panas akan datang.

Khabar angin itu sememangnya diharapkan Antony kerana sepanjang hampir dua musim di Manchester United, keberadaannya kurang dihargai baik daripada pihak kejurulatihan mahupun penyokong.

Jadi, dalam usaha membalas kepercayaan diberikan Real Betis, pemain berusia 24 tahun terbabit sekali lagi memberikan impak besar buat mereka selepas meledak dalam aksi Liga Konferens Europa UEFA (UECL) berdepan wakil Belgium, Gent pada Jumaat.

Dalam pertembungan di pusingan 16 pasukan terbaik itu, skuad bimbingan Manuel Pellegrini mencatatkan kemenangan 3-0 dengan salah satu gol dihasilkan Antony pada minit ke-47 perlawanan.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 3.09.34 PM

Antony (kiri) tidak mendapat tempat sejak kehadiran Ruben Amorim. — Agensi

Gol tersebut amat menarik untuk disaksikan apabila pemain pinjaman dari The Red Devils itu membuat percubaan dari luar kotak penalti yang gagal ditepis penjaga gol tuan rumah.

Jaringan berkenaan sememangnya diraikan penyerang terbabit yang terus memberikan impak dalam perlawanan sebelum dikeluarkan pada minit ke-74 untuk memberi laluan kepada Ezequiel Avila.

Sekiranya rentak cemerlang itu diteruskan, tidak mustahil buat kelab Sepanyol terbabit menandatanganinya secara tetap meskipun perlu membayar yuran perpindahan sehingga €20 juta (RM92.8 juta) berdasarkan nilai pasaran semasa.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan Manchester United akan melepaskannya dengan harga lebih murah kerana pemain tersebut tidak lagi mempunyai tempat dalam skuad The Red Devils. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram