BERITA perpindahan pemain kebangsaan Jepun, Wataru Endo ke Liverpool FC pastinya mengubat luka penyokong The Reds selepas dua bintang sasaran mereka Moises Caicedo dan Romeo Lavia memilih Chelsea untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Menurut wartawan Itali, Fabrizio Romano mengesahkan Endo bakal sertai Liverpool daripada kelab Jerman, VfB Stuttgart dengan yuran perpindahan sebanyak lebih RM90 juta.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini memulakan kariernya bersama kelab Jepun, Shonan Bellmare dan Urawa Red Diamonds sebelum mendapat perhatian Sint-Truidense VV (Belgium) untuk melebarkan kariernya di Eropah.
Endo juga memegang peranan sebagai kapten skuad kebangsaan Jepun yang dibarisi ramai pemain bintang seperti Kaoru Mitoma (Brighton & Hove Albion), Daichi Kamada (SS Lazio), Takefusa Kubo (Real Sociedad), Kyogo Furuhashi (Celtic FC) dan ramai lagi beraksi di Eropah.
Endo merupakan kapten VfB Stuttgart. — Agensi
Namun adakah anda tahu, Harimau Muda pernah tewas tipis dengan skuad yang diketuai Endo semasa berkunjung ke negara ini dalam satu perlawanan kelayakan Piala Asia B-23 2016.
Dalam perlawanan itu Malaysia tewas dengan keputusan 0-1 sekali gus memadam impian Harimau Muda untuk layak ke Piala Asia B-23 2016 di Stadium Shah Alam, Selangor pada 2015.
Ketika itu skuad muda negara dibarisi pemain antaranya ialah Nazirul Naim, Kenny Pallraj (KL City), Ariff Farhan, Amirul Hisyam (Kedah Darul Aman FC), Farhan Roslan (Sabah FC) dan beberapa pemain lagi.
Endo pernah memimpin Jepun B-23 menewaskan Malaysia B-23 pada 2015. — Facebook
Dengan perpindahan Endo ke Liverpool, salah seorang penyokong, Nurazhar Mohd Zin dalam Facebook mula mempersoalkan kredibiliti pemain Malaysia yang hanya selesa beraksi dalam Liga Super.
"Wataru Endo, mengetuai pasukan Jepun menentang Malaysia di stadium keramat Shah Alam pada 2015.
"Kapten pasukan B-23 tersebut kini dikaitkan perpindahan ke EPL selepas keluar dari J-League untuk bersama kelab Belgium, Sint-Truiden dan berpindah ke kelab Jerman, VFB Stuggart selama 3 musim.
"Apa alasan kita pemain Malaysia masih ingin bermain di Liga Super selama mungkin jika ada kredibiliti?
"Jepun hanya menang tipis 1-0 pada perlawanan ini dan hanya Shahrul Saad dijangka membarisi skuad Piala Asia 2023," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram