
SAINGAN Liga Super semakin menghampiri tirainya apabila hanya berbaki lima perlawanan untuk menutup musim 2024/25 yang penuh dengan kontroversi dari isu dalaman sehinggakan tunggakan gaji apatah lagi melibatkan separuh daripada pasukan bertanding.
Seperti biasa selepas saingan Liga Super berakhir pastinya akan ada khabar angin tentang kemasukkan pemain-pemain import baharu untuk memperkuatkan pasukan bertanding.
Dengan kos liga yang semakin tinggi, pihak pengurusan kelab-kelab Liga Super dinasihatkan untuk menguruskan perbelanjaan dengan begitu cermat supaya tidak mengulangi isu tunggakan gaji.
BACA LAGI: 'Belasah Kelantan bukan ukuran Harimau Kumbang selesa atasi Kuching City'
BACA LAGI: ‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’
Melihat kepada situasi itu, Majoriti mencadangkan agar pihak pengurusan mengintai import dari Liga Hong Kong yang telah membuktikan produk pemain asing mereka di Liga Super.
Mengapa Hong Kong? Ini kerana statistik semasa liga itu dipenuhi dengan pemain import 'otai' yang sedang beraksi baik musim ini.
Dengan Liga Malaysia sering menjadi pilihan import tua, ia sesuai bagi pihak pengurusan yang mahu mengisi kekosongan kuota pemain asing dengan reputasi baik.
Selain itu, bekas pemain import Liga Hong Kong, Rufino Segovia (Selangor) dan Lucas Silva (Penang) membuktikan kualiti yang ada pada mereka dengan masa jangka pendek berbanding pemain import yang datang dari Liga Eropah mahupun Amerika Selatan.
Dengan ini, Majoriti senaraikan tiga import 'otai' Liga Hong Kong sesuai buat pasukan Liga Super untuk salin kulit bermula musim depan:
1. Everton Camargo
Pemain naturalisasi Hong Kong, Everton Camargo wajar diperhatikan oleh kelab Liga Super bagi saingan musim depan.
Ia kerana pemain berusia 34 tahun itu telah meledak 10 gol dan lima bantuan jaringan sepanjang 11 penampilannya dalam Liga Perdana Hong Kong ini.
Manakala bersama skuad kebangsaan Hong Kong, Camargo telah menjaringkan sembilan daripada 15 penampilan sekali gus membuktikan kualitinya di pentas antarabangsa.
Camargo juga cukup dikenali dengan kaki kiri berbisanya apabila sering menghadirkan jaringan apabila dia mula melakukan menggunakan kaki kirinya.
2. Ruslan Mingazov
Bekas pemain Turkmenistan, Ruslan Migazov pastinya sesuai untuk beraksi di Liga Malaysia kerana mempunyai pengalaman luas di Eropah dan Asia.
Meskipun Mingazov berusia 34 tahun, ia tidak menghalang buat dirinya untuk menghuni tangga pertama 'assister' terbanyak dalam saingan Liga Perdana Hong Kong ketika ini.
Pada Mac 2022, Mingazov menyertai Kitchee SC di Liga Perdana Hong Kong yang mana dia memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab tersebut, membantu mereka memenangi Liga Perdana Hong Kong 2022-23, Piala Cabaran Senior Hong Kong 2022-23 dan 2023-24, Piala FA Hong Kong 2022-23, dan Piala HKPLC 2023-24.
Secara individu, bekas pemain Turkmenistan itu dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Hong Kong 2022-23, Pemain Terbaik Liga Perdana Hong Kong 2022-23, dan dimasukkan ke dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana Hong Kong 2022-23.
3. Welthon Fiel Sampaio
Welthon Fiel Sampaio adalah seorang pemain bola sepak profesional yang beraksi sebagai penyerang.
Pada Julai 2024, Welthon berpindah ke Kitchee SC dalam Liga Perdana Hong Kong, yang mana dia terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan setakat Oktober 2024.
Musim ini, pemain berusia 33 tahun itu sedang menghuni tangga ketiga sebagai penjaring terbanyak liga dengan lapan gol daripada 12 penampilan.
Sepanjang kerjayanya, Welthon telah memenangi beberapa kejuaraan, termasuk Campeonato Goiano bersama Atlético Goianiense pada 2011 dan Campeonato Paraense bersama Remo pada 2022.
Dia juga merupakan penjaring terbanyak Taca da Liga pada musim 2016/17 dengan empat gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram