Beraksi 10 orang tak jadi masalah, Selangor puas hati bawa bekal tipis ke Selayang


  • Podium
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Skuad Gergasi Merah tersenyum dengan kemenangan yang dicatatkan meskipun beraksi dengan 10 orang. — Facebook/Selangor FC

PELBAGAI momen menarik dapat disaksikan sepanjang 90 minit aksi antara Selangor FC dan PDRM FC dalam perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/25 di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.

Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pertama selepas Alvin Fortes menyudahkan peluang dihadiahkan Ronnie Fernandez pada minit keempat permainan.

Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah tidak berpanjangan apabila kira-kira empat minit kemudian, Safuwan Baharudin yang menggalas peranan kapten pasukan dibuang padang.

BACA LAGI: Kinoshi anggap aksi final MFL Challenge Cup peluang Selangor gembirakan penyokong

BACA LAGI: MFL Challenge Cup: Penang FC berputih mata, ‘positioning’ Sikh Izhan undang geram

479180342_18483083143006712_6841053427000764055_n

Alvin Fortes membuka jaringan seawal minit keempat permainan. Facebook/Selangor FC

Keputusan itu diambil pengadil, Zamzaidi Katimin selepas mendapati bek tengah berkenaan menghalang peluang Shahrel Fikri yang cuba menjaringkan gol ketika Kalamullah Al-Hafiz sudah keluar dari kotak penalti.

Tetapi, kekecewaan tersebut tidak berpanjangan kerana pada minit ke-18, Fortes berjaya menggandakan kedudukan Selangor FC selepas merembat masuk bola muntah hasil tepisan penjaga gol pasukan pelawat, Bryan See.

Drama di Stadium MBPJ berterusan apabila giliran PDRM FC pula menggegarkan gawang lawan setelah Shahrel Fikri menerima umpanan cantik Fadi Awad sebelum menewaskan Kalamullah.

Jaringan tersebut pasti sukar diterima penyokong Merah Kuning memandangkan penyerang berkenaan pernah beraksi buat skuad Gergasi Merah selama beberapa musim.

Kelekaan benteng pertahanan skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi sekali lagi membawa padah apabila PDRM FC sekali lagi mencetak jaringan menerusi Badrol Affendy Fazli yang menanduk masuk menerusi hantaran sepakan penjuru.

09F9D34F-F922-4296-9997-89C59B4939D2

Shahrel Fikri ketika beraksi untuk Selangor FC.

Bersambung babak kedua, Selangor FC yang beraksi dengan 10 orang masih tidak berputus asa dalam mencari jaringan ketiga perlawanan dengan hanya perubahan di benteng pertahanan dibuat.

Usaha itu membuahkan hasil apabila pada minit ke-51, Ali Olwan meletakkan tuan rumah di hadapan selepas dia menampan masuk hantaran lintang Quentin Cheng untuk menewaskan Bryan See.

Gol tersebut sememangnya melegakan dengan Selangor FC kemudian menurunkan rentak permainan, namun terus berwaspada dengan asakan demi asakan PDRM FC yang turut melakukan beberapa penggantian.

Selain beberapa momen hangat disaksikan, skuad Gergasi Merah lebih banyak bertahan dengan Kalamullah beraksi cemerlang, termasuk pada minit-minit akhir permainan ketika terdapat kekecohan dalam kotak penalti mereka.

Kemenangan 3-2 itu menyaksikan skuad Gergasi Merah membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balikdengan penyokong mereka turut berpuas hati akan keputusan terbabit.

479169617_18483095191006712_5282031046429290456_n

Ali Olwan (kiri) menjaringkan gol kemenangan buat skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagi mereka, semangat juang dipamerkan meskipun beraksi dengan kekurangan seorang pemain tidak dijadikan alasan buat pasukan itu daripada meraih kemenangan penting.

"Bermain dengan hanya 10 orang tidak mematahkan semangat juang Selangor untuk menang malam ini (Sabtu)," kata Zuraida Pps.

"PDRM beraksi dengan 11 pemain pun tidak boleh menang? Kita jumpa dalam perlawanan akhir kedua nanti ya," kata Hairul Akmal.

"Main kurang pemain pun boleh menang ya Selangor?" ujar Naim Zahari.

Perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup akan dilangsungkan di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu depan dengan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang untuk menjulang trofi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram