Semakin hampir, Bergson beri 'hint' jadi bintang naturalisasi HM seterusnya


  • Podium
  • Ahad, 09 Feb 2025

Begrson sudah meledak 22 gol dalam Liga Super musim 2024/2025. — Facebook/JDT

HARIMAU Malaya dikhabarkan akan mendapatkan bintang naturalisasi baharu dengan nama Bergson Da Silva disebut sebagai calon untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Nama penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut difahamkan bakal menyarung jersi skuad kebangsaan selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan mengenainya.

Tunku Ismail yang juga pemilik Harimau Selatan sebelum ini membuka kenyataan berkenaan sebagai respons terhadap undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia diletakkan dalam kumpulan F bersama-sama Vietnam, Nepal dan Laos.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ kuat Jonathan Viera-Roque Mesa kemudi tengah padang bukti pembelian bijak JDT

BACA LAGI: Par JDT terlalu tinggi? 3 import termasuk 'wonderkid' Indonesia bukti bintang Asia tak 'fit'

Selepas kira-kira dua bulan nama Bergson dicanang terlibat dalam revolusi Harimau Malaya, pemain kelahiran Brazil itu akhirnya memberi perkembangan terkini dengan memuat naik petunjuk pada laman Instagram miliknya.

Berdasarkan tinjaun Majoriti pada laman Instagram Bergson, penyerang berusia 34 tahun itu meletak emoji Jalur Gemilang di bio media sosialnya. Ia seolah-olah memberi petunjuk bahawa Bergson selangkah untuk menjadi sebahagian skuad kebangsaan.

Walaupun sekadar emoji bendera Malaysia, ramai penyokong bola sepak tempatan gembira dengan semangat Bergson untuk mewakili negara di pentas antarabangsa dengan dia dijangka akan menjadi penggempur utama.

Sebelum ini, Bergson memberitahu bahawa dia sudah merasakan Malaysia seperti rumahnya sendiri dan tiada masalah untuk dinaturalisasikan untuk membantu skuad Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2025-02-09 at 18.57.16

Tangkap layar Instagram Bergson.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini sewaktu tiba di negara ini hampir lima tahun lalu. Saya gembira berada di Malaysia dan bermain untuk kelab ini dengan semua sokongan yang saya peroleh daripada Tunku Ismail.

"Jika peluang itu datang, saya akan berikan segalanya. Saya terharu dengan penerimaan penyokong yang sentiasa bersama saya, ia menjadi motivasi tambahan buat saya untuk mewakili Harimau Malaya," ujar Bergson.

Bergson yang sudah meledak 22 gol dalam Liga Super musim ini boleh menjadi penyelesaian jangka pendek buat posisi penyerang utama Harimau Malaya yang bergantung kepada Darren Lok dan Haqimi Azim.

Selain Bergson, pemain import Harimau Selatan yang kini beraksi bersama Sri Pahang, Manuel Hidalgo dan bek tengah Kuala Lumpur City FC iaitu Giancarlo Gallifuoco juga dicanang akan menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram