Bekas bek Inter Milan antara 3 bintang Central Coast Mariners perlu diawasi Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 11 Feb 2025

Sainsbury (tengah) pernah beraksi buat beberapa kelab sekitar Eropah, termasuk buat Inter Milan di Itali. — Agensi

PELUANG cerah dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite kerana mereka menduduki tangga keenam peringkat kumpulan Zon Timur.

Dua perlawanan yang berbaki juga sememangnya mudah ditempuhi skuad bimbingan Hector Bidoglio itu dengan mereka akan berkunjung ke Australia untuk berdepan Central Coast Mariners sebelum menerima kunjungan Pohang Steelers bagi aksi penutup peringkat kumpulan.

Tumpuan sudah tentu diberikan kepada aksi menentang Pohang Steelers kerana pertemuan antara skuad Harimau Selatan dengan pasukan Korea Selatan amat menarik untuk disaksikan.

BACA LAGI: [VIDEO] Media Australia buat analisis, waspada ancaman 7 ayam tambatan JDT

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ kuat Jonathan Viera-Roque Mesa kemudi tengah padang bukti pembelian bijak JDT

Gwangju-vs-JDT-1200x800

Kemenangan di Australia akan membolehkan JDT melepasi peringkat kumpulan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, sebelum mereka boleh memberi fokus terhadap perlawanan terbabit, JDT terlebih dahulu perlu memastikan tiga mata penuh dapat diraih dalam perlawanan menentang Central Coast Mariners pada Selasa.

Meskipun kelab dari negara Ocenia itu tidaklah begitu menyerlah dalam kempen ACL Elite mereka, skuad Harimau Selatan tidak boleh tampil terlalu yakin sehingga merendahkan intensiti permainan.

Selain perlu memberi fokus terhadap persembahan sendiri, juara bertahan Liga Super itu juga haruslah mengawasi tiga bintang skuad The Mariners yang boleh mengundang ancaman terhadap JDT.

1. Trent Sainsbury

Walaupun hanya beraksi dalam barisan pertahanan, kelibat Trent Sainsbury masih perlu diawasi JDT kerana pemain itu memiliki pengalaman luas bersama kelab tersebut serta di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 33 tahun itu sudah merekodkan 79 penampilan secara keseluruhan bersama Central Coast Mariners yang disertainya pada Ogos tahun lalu selepas juga pernah beraksi di situ lebih 10 tahun lalu.

472570482_1379488620117352_6618121568494916755_n

Pengalaman Sainsbury menyaksikannya dilantik kapten Central Coast Mariners. Facebook/Central Coast Mariners

Namun, pengalamannya di peringkat kelab bukan sahaja terbatas di Australia kerana sebelum ini, dia pernah beraksi di beberapa kelab ternama, termasuk gergasi bola sepak Itali, Inter Milan dan kelab terkenal Belanda, PSV Eindhoven.

Di pentas antarabangsa pula, Sainsbury sudah merekodkan 61 penampilan sebagai bek tengah utama skuad The Socceroos, termasuk ketika membantu mereka menjulang Piala Asia 2015.

Momen sepanjang kariernya itu menyaksikan pemain terbabit sebagai bintang utama pasukan memandangkan dia juga diberikan peranan kapten bagi mengawal rakan sepasukannya.

2. Mikael Doka

Seperti dikatakan di atas, prestasi Central Coast Mariners dalam saingan ACL Elite musim ini tidaklah begitu baik kerana mereka sedang menduduki kedudukan tercorot selepas enam perlawanan.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pasukan tersebut menjuarai Piala AFC musim lalu dengan beberapa tonggak utama pasukan masih kekal bersama kelab terbabit sehingga hari ini.

431314421_1154312859301597_3157420177682787071_n

Doka merupakan ayam tambatan Central Coast Mariners dalam jentera serangan pasukan. Facebook/Central Coast Mariners

Salah seorang daripadanya ialah Mikael Doka yang merekodkan dua gol dan satu bantuan jaringan buat Central Coast Mariners dalam enam penampilan ACL Elite setakat ini.

Meskipun catatan itu tidaklah begitu baik, tumpuan masih perlu diberikan barisan pertahanan JDT terhadap pemain berusia 25 tahun itu yang pasti akan menggunakan kebolehannya untuk mencipta peluang.

Selain itu, pemain skuad Harimau Selatan juga perlu menghalang Doka daripada melakukan percubaan jarak jauh kerana salah satu jaringannya dalam kejohanan peringkat benua itu musim ini dicetak daripada situasi berkenaan ketika berdepan Shanghai Port.

3. Haine Eames

Usia bukanlah penghalang buat bintang baharu Central Coast Mariners, Haines Eames yang sudah mencatatkan 17 penampilan senior sepanjang musim ini meskipun baru berusia 16 tahun.

Malah, dalam kempen ACL Elite, pemain itu berjaya mencuri perhatian ramai apabila diturunkan sebanyak tiga kali setakat ini dengan tiada sebarang sumbangan di hadapan pintu gol dicatatkan.

463834698_1317918059607742_5111328058450456495_n

Eames yang baru berusia 16 tahun sudah menjadi watak utama pasukan. Facebook/Central Coast Mariners

Di peringkat domestik pula, Haines sudah menjaringkan dua gol yang juga merupakan rekod baharu kerana dia muncul penjaring termuda dalam liga di negara terbabit.

Keberadaannya dalam pasukan menjadikannya antara pemain yang perlu diberi perhatian dengan pemain skuad Harimau Selatan perlu cuba sedaya upaya untuk mengekang pergerakannya.

Meskipun bahagian tengah bukanlah kelemahan JDT, mereka diingatkan supaya berwaspada kerana setiap kesilapan dalam kejohanan tersebut akan dihukum, termasuk daripada pasukan tercorot itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram