Slot tak menyesal turunkan skuad kedua, anggap taktikal Plymouth mirip Man United


  • Podium
  • Isnin, 10 Feb 2025

Plymouth yang menghuni kedudukan tercorot divisyen kedua England menewaskan Liverpool dalam aksi keempat Piala FA. — Agensi 

LIVERPOOL mengalami kejutan besar dalam saingan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada pasukan tercorot divisyen kedua iaitu Plymouth Argyle dalam aksi pusingan keempat Piala FA di Stadium Home Park, Plymouth, England pada Ahad.

Kekalahan berkenaan menyaksikan pasukan kendalian Arne Slot tersingkir daripada kejohanan, dengan penalti Ryan Hardie pada minit ke-53 menjadi penentu kemenangan bagi skuad bimbingan Miron Muslic.

Dalam perlawanan tersebut, Liverpool gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, terutama dalam tempoh 30 minit terakhir. Sebaliknya, Plymouth menunjukkan ketahanan dan disiplin tinggi dalam bertahan, selain mencipta beberapa peluang berbahaya.

BACA LAGI: Status legenda di Liverpool sudah dimiliki, tiba masanya angkat Mohamed Salah jadi GOAT EPL

BACA LAGI: Liverpool raih untung VAR silap 13 kali musim 24/25, Man United 'terpaling' mangsa

Keputusan penalti diberikan selepas Harvey Elliott menyentuh bola dengan tangan di dalam kotak penalti pada awal babak kedua, yang akhirnya membawa kepada kemenangan pasukan tuan rumah.

Selepas perlawanan, Slot menyamakan gaya permainan Plymouth dengan Manchester United, pasukan yang pernah mereka hadapi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 5 Januari lalu, keputusan berakhir seri 2-2.

"Kami telah melihat beberapa kali musim ini bahawa gaya permainan seperti ini sukar bukan sahaja untuk pemain utama kami tetapi juga mereka yang bermain hari ini.

"Long ball secara berterusan, perebutan bola kedua, dan bertahan dengan blok rendah. Itu yang kami lihat ketika menentang Manchester United di tempat sendiri juga," kata Slot kepada wartawan.

Slot turut mempertahankan pemilihan kesebelasan utamanya dalam perlawanan itu, dengan menegaskan bahawa pemain-pemain yang diturunkan memerlukan minit permainan untuk memastikan kesediaan mereka dalam fasa akhir musim ini.

slot

Pengendali Liverpool, Arne Slot. Agensi

"Hari ini (Ahad) juga menunjukkan mengapa kami memilih barisan pemain ini kerana mereka juga perlu mendapatkan rentak permainan. Beberapa pemain benar-benar memerlukan perlawanan seperti ini untuk bersedia menghadapi tiga bulan terakhir musim ini," tambahnya.

Mengulas mengenai keputusan perlawanan, Slot mengakui kekecewaannya tetapi tetap memuji semangat juang anak buahnya yang terus berusaha sehingga minit terakhir.

"Keputusan ini sudah tentu mengecewakan, dan cara kami bermain juga tidak banyak yang boleh dibanggakan. Namun, saya gembira kerana pemain terus berjuang selama 100 minit. Sepuluh minit terakhir mungkin merupakan bahagian terbaik permainan kami.

"Plymouth mempunyai pelan permainan yang baik, mereka bekerja keras dan mendapat penalti yang wajar. Keputusan itu memberi kesan besar kepada perlawanan kerana kedua-dua pasukan hampir tidak mencipta sebarang peluang.

"Setelah mereka mendahului 1-0, mereka terus bertahan sehingga tamat perlawanan. Penjaga gol mereka juga melakukan satu atau dua penyelamatan yang baik, tetapi kami hampir tidak mencipta sebarang peluang yang berbahaya," jelasnya.

Kekalahan ini bermakna Liverpool kini perlu mengalihkan fokus mereka kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kejohanan lain bagi memastikan musim ini berakhir dengan kejayaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram