Masalah jadual liga jadi manifesto Niena Azman jika dilantik Kongres FAM


  • Podium
  • Isnin, 10 Feb 2025

Niena Azman yang juga isteri Rody Kristal merupakan bekas penjaga gol wanita kebangsaan. — Instagram/NienaAzman

EMPAT hari sebelum Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berlangsung Sabtu ini, debaran kian dirasakan dalam kalangan calon yang bertanding dengan pastinya ramai menunggu siapa individu dipilih untuk menjalankan tanggungjawab besar tersebut.

Fokus pastinya terarah kepada calon kerusi ahli lelaki dengan nama-nama besar seperti dua legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Dollah Salleh akan bertanding.

Selain itu, lima calon jawatan ahli wanita yang menyaksikan perebutan dua kerusi juga akan mencuri tumpuan. Salah seorang calon yang akan bertanding adalah Nur Izwani Azman atau lebih dikenali sebagai Niena Azman.

BACA LAGI: Wajah baharu Kongres FAM: Zainal Abidin fokus ‘ubi muda’, Dollah Salleh mahu balas kepercayaan

BACA LAGI: Terima dana tambahan RM15 juta, FAM diingat tak hanya tunggu pemberian, perlu giat tarik pelaburan

Niena Azman bukan nama asing dalam bola sepak wanita susulan dia merupakan bekas penjaga gol Malayan Tigress dan berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk menguruskan pasukan bola sepak dalam KL Women’s League dan Liga Wanita Nasional (LWN).

Menyedari lawan yang akan bertanding merupakan calon-calon kategori heavyweight seperti Datuk Suraya Yaacob, Dr Siti Faidul Maisarah Abullah dan Datuk Dr Fadilah Sarbi, Niena Azman optimis manifestonya mampu menjadi 'senjata' untuk menang.

Niena Azman berkata, isu kalender yang saban tahun diberi terlalu lambat hingga menjejaskan persiapan pasukan akan ditambah baik bakal menjadi taruhan utama bekas pemain itu untuk memperkasa bola sepak wanita.

WhatsApp Image 2025-02-10 at 16.08.51

Profil Niena Azman yang bertanding kerusi ahli wanita FAM.

"Kalender wanita ini, kita perlu sediakan lebih awal. Contohnya dalam Disember sudah siap. Jadi, setiap pasukan ada tiga bulan untuk buat persediaan sebelum kejohanan yang akan berlangsung pada April.

"Pemberian jadual lebih awal akan membantu pasukan untuk meletakkan sasaran masing-masing. Jadi pasukan yang berminat nak hantar pasukan, sudah mula cari pemain dan sumber kewangan. Bila jadual bagi lambat, ia juga akan memberi kesan kepada kualiti pasukan.

"Sebab itu ada dalam perlawanan LWN, ada keputusan perlawanan yang terlalu berbeza macam 13-0. Ada satu pasukan sudah buat persipan awal sebab mereka dah lama dan berpengalaman tetapi ada yang tiada pengalaman.

"Dari kekalahan besar itu yang akan menurunkan moral pemain dan akan ada pemain yang mula putus ada. Sebab itu Niena cakap, perancangan kalendar ini nampak mudah tapi Niena ingin tekankan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2025-02-10 at 15.16.56

Calon-calon yang bertanding Kongres Tahunan FAM.

Selain bola sepak, Niena yang kini berusia 38 tahun itu juga mahu memberi fokus kepada pembangunan futsal wanita negara dek sukan itu semakin ketinggalan lagi-lagi selepas ketiadaan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Wanita.

Kali terakhir MPFL Wanita diadakan pada 2022 dengan menyaksikan skuad Melaka United dinobatkan sebagai juara menewaskan pesaing terdekat, Selangor MBSJ selepas mengharungi 10 perlawanan.

"Berbanding bola sepak, futsal wanita agak ketinggalan. Kita sudah terlepas banyak kejohanan. Kalau nak tahu, pemain bola sepak negara banyak yang bermula dengan futsal. Jika kita buka pool futsal ini, banyak calon pemain boleh diperoleh.

"Macam Niena pun bermula dengan futsal dahulu dan selepas itu dapat panggilan kem kebangsaan. Banyak yang berbakat tapi tiada peluang. Sebab itu kita perlu wujudkan ruang dan peluang itu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram