[VIDEO] Media Australia buat analisis, waspada ancaman 7 ayam tambatan JDT


  • Podium
  • Isnin, 10 Feb 2025

Arif Aiman antara tonggak berbahaya JDT yang disebut-sebut bakal menyukarkan CCM.

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) dalam misi penting untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners (CCM) di halaman lawan pada Selasa (10 Februari).

Melihat kekuatan JDT di pentas Asia, sebuah laman media Australia, The Roar telah melakukan analisis penuh tentang setiap tonggak utama Harimau Selatan.

JDT hadir ke Australia dengan misi penting untuk membawa pulang tiga mata bagi memperkukuhkan tempat dalam kelompok lapan terbaik berbekalkan momentum sembilan kemenangan berturut-turut.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ kuat Jonathan Viera-Roque Mesa kemudi tengah padang bukti pembelian bijak JDT

BACA LAGI: Sejak kecil tak percaya dirinya putera raja, Jordi Amat akhirnya faham mesej nenek lepas sertai JDT

Media itu melihat kekuatan JDT hadir daripada tujuh tonggak utama terutamanya Arif Aiman Hanapi yang sudah menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan terakhir.

"Dari sudut serangan, JDT banyak bergantung kepada pemain sayap mereka.

"Di sebelah kanan, Arif Aiman Hanapi adalah penjaring utama dengan empat gol dan satu bantuan jaringan, termasuk dua gol penting dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan menentang Shanghai Port.

"Di sebelah kiri, pemain Sepanyol, Juan Muniz, yang direkrut dari liga utama Greece, telah menjadi arkitek utama dengan dua bantuan setakat ini, tetapi dia juga boleh menjadi ancaman jaringan, seperti yang dibuktikan oleh hatriknya dalam final Piala FA Malaysia pada Ogos lalu.

"Di bahagian serangan, penyerang Brazil, Bergson (da Silva), masih belum mencapai prestasi terbaik dengan hanya satu gol dalam kejohanan ini, tetapi jika dia kembali ke bentuk asalnya, CCM perlu berhati-hati dia telah menjaringkan 10 gol dalam dua edisi Liga Juara-Juara Asia sebelum ini dan berada dalam prestasi luar biasa dalam liga domestik, dengan beberapa hatrik musim ini.

"Di bahagian tengah, JDT dibantu oleh pemain berpengalaman dari La Liga. Eddy Silvestre dari Eibar merupakan pemain paling menonjol, malah sering membantu di bahagian pertahanan. Bekas pemain Celta, Natxo Insa, mungkin tidak begitu konsisten, tetapi dia menunjukkan prestasi cemerlang ketika menentang pasukan dari China seperti Shanghai Shenhua dan Shandong Taishan.

"Di bahagian pertahanan, Shane Lowry, yang pernah beraksi bersama Perth Glory dan Aston Villa, adalah pemimpin utama. Lowry amat berguna dalam perlawanan terakhir JDT menentang Buriram, yang mana mereka terpaksa bertahan dengan seorang pemain kurang hampir sepanjang separuh masa pertama dalam perlawanan yang penuh kad kuning dan merah.

"Dengan JDT lebih suka mengurangkan beban penjaga gol mereka, Andoni Zubiaurre memandangkan mereka memiliki perbezaan gol +61 dalam liga domestik Lowry dijangka akan memimpin barisan pertahanan dengan penuh disiplin untuk memastikan serangan CCM tidak berfungsi," katanya.

Aksi Central Coast Mariners berdepan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 11 Februari di tempat lawan dengan sepak mula pukul 4 petang waktu Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram