
SEPERTI adat perlawanan bola sepak, kadang menang dan kadang tewas. Situasi terbabit juga sebenarnya berlaku dalam kehidupan pemain apabila prestasi mereka juga mengalami naik turun bila-bila sahaja.
Musim 2024 menyaksikan persaingan sengit antara pemain muda dan bintang berpengalaman semakin ketara apabila beberapa tonggak senior membuat kemunculan semula selepas ‘lenyap’ dalam dunia Liga Malaysia (Liga M).
Situasi berkenaan kadang menyebabkan beberapa pemain muda tempatan semakin tenggalam dan tidak lagi mencuri tumpuan dek kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.
BACA LAGI: 'Jangan jadikan alasan', fans TFC enggan jadual padat punca dikecewakan BG Pathum United
BACA LAGI: Misi sekat BG Pathum United makin sukar, lepas Ivan Mamut, TFC hilang khidmat Alif Zakaria
Selain kemunculan semula pemain lama, tekanan daripada kehadiran pemain import berkualiti, perubahan taktikal pasukan menyebabkan sebilangan bakat muda berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama.
Selepas satu musim mendapat sorakan peminat dan pujian daripada pemerhati bola sepak atas aksi cemerlang serta penampilan awal yang menjanjikan, musim 2024 menyaksikan kelibat mereka semakin jarang kelihatan.
Samada mereka masih berada dalam perancangan jangka panjang pasukan, atau bakal menjadi satu lagi kisah bakat muda yang tenggelam sebelum mencapai potensi sebenar? Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda yang semakin lenyap pada musim 2024.
1) T. Saravanan
Antara aksi Saravanan (kanan) ketika kekalahan 0-2 di tangan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu. — Facebook/SriPahang
T. Saravanan, yang kini bersama Sri Pahang, pernah dianggap sebagai pemain sayap berbakat dan mampu mencipta impak besar dalam permainan selepas musim cemerlangnya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim 2023.
Bersama skuad Warga Kota pada musim lepas menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu berhasil tampil dalam 30 perlawanan domestik dan meledak empat gol serta dua bantuan jaringan.
Namun, sejak berhijrah ke Sri Pahang pada musim 2024 menyaksikan pemain skuad kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23) berkenaan semakin kurang mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Kehadiran pemain import serta strategi pasukan yang lebih mengutamakan pengalaman menjadikan Saravanan sekadar pelengkap skuad, dengan lebih banyak masa di bangku simpanan berbanding di atas padang.
Dengan hanya tampil dalam lapan aksi Liga Super dan tanpa merekodkan apa-apa gol, masa depannya bersama Tok Gajah mungkin dalam tanda tanya. Tidak mustahil Saravanan perlu mencari peluang di kelab lain untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.
2) Haqimi Azim
Berbeza dengan situasi Saravanan, Haqimi Azim masih mendapat peluang banyak bersama skuad The City Boys namun prestasi penyerang muda berkenaan masih kurang memuaskan penyokong bola sepak tempatan.
Tidak dinafikan, musim ini pemain berusia 22 tahun berkenaan sudah meledak tiga gol serta tiga bantuan jaringan berbanding musim 2023, yang menyaksikan Haqimi hanya meletak satu gol buat pasukan Lembah Klang itu.
Namun, kualiti hantaran Haqimi baru-baru ini mengundang kritikan daripada penyokong apabila hantarannya tidak membantu KL City untuk menewaskan Buriram United dengan keputusan 0-1 sekali gus terkeluar daripada saingan Piala Shopee pada Khamis (6 Februari).
Jika anak jati Gombak, Selangor berkenaan tidak menambah baik kualiti hantarannya, tidak pelik jika Haqimi semakin kurang mendapat permainan bersama The City Boys.
3) Alif Ikmalrizal
Alif hanya merekodkan satu gol untuk Liga Super musim ini bersama Penang. — Facebook/PenangFC
Nama Alif Ikmalrizal pernah menjadi bualan hangat selepas menunjukkan aksi meyakinkan dalam beberapa perlawanan penting musim lalu walaupun dia hanya diturunkan sebagai pemain gantian.
Malah, pemain yang juga penyerang skuad B-23 negara itu juga pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala AFF B-23 2023. Ia merupakan kali pertama Alif mendapat peluang menyarung jersi Malaysia.
Namun, tahun ini menyaksikan pemain berusia 22 tahun berkenaan semakin jarang diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan. Alif tidak pernah menjadi kesebelasan utama dalam Liga Super 2024 dan hanya meledak satu gol sebagai pemain gantian.
Kehadiran pemain yang lebih berpengalaman serta isu konsistensi dalam permainannya mungkin menjadi antara sebab mengapa Alif kurang mendapat peluang untuk menyerlah.
Bagi seorang pemain muda, kehilangan minit permainan boleh memberi kesan besar kepada perkembangan kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram