HUJAN lebat di Stadium Temerloh, Pahang jelas mengganggu tempo perlawanan antara Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super pada Ahad (26 Januari).
Ini dibuktikan apabila kedua-dua pasukan sukar untuk beraksi dengan baik apabila permukaan padang penuh ditakungi air hujan.
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad yang menurunkan tiga pemain import terpaksa bermain dengan taktikal bola lambung untuk melakukan serangan ke arah pihak lawan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jojo mahu balas dendam, rancang ubah cara berlawan dan lebih tenang dalam gelanggang
Manakala KL City pula lebih banyak bertahan selepas sukar untuk bermain dengan hantaran pendek susulan gangguan daripada permukaan padang yang tidak baik.
Melihat kepada kesukaran buat kedua-dua pasukan untuk beraksi dengan baik, penyokong tuan rumah pelik bagaimana perlawanan boleh diteruskan oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan.
"Baik main dekat padang Bank Pekan kalau macam (padang) ini gayanya," kata Sirhan Medina.
"Teruk becak, macam mana boleh 'game on'?" soal Shahurin Jaafar.
Perlawanan yang bermula lewat 30 minit itu juga mengganggu momentum kedua-dua pasukan yang sudah memanaskan badan lebih awal.
Babak separuh masa pertama memperlihatkan KL City mendahului 1-0 apabila Kenny Pallraj menanduk masuk menerusi hantaran sepakan penjuru pada minit ke-45 perlawanan.
Keputusan kekal 0-1 dengan Sri Pahang ketinggalan pada babak separuh masa pertama.
Bersambung babak separuh masa kedua, Sri Pahang terus mengandakan asakan kepada KL City dalam misi untuk mencari jaringan penyamaan.
Namun tuan rumah perlu menunggu hingga minit ke-80 untuk mendapatkan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Stefano Brundo selepas bola terkena tangan pemain lawan.
Tersentak dengan jaringan Sri Pahang, KL City bagai mendapat semangat baharu selepas menyerang habis-habisan ke kubu pertahanan Tok Gajah sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sekali gus membawa pulang satu mata.
Melihat kepada kebangkitan Sri Pahang pada separuh masa kedua, rata-rata penyokong tuan rumah berpuas hati dengan barisan serangan pasukan mesikpun permukaan tidak berada dalam keadaan baik.
"Bahagian serangan dah okay walaupun air bertakung, penyudah kurang sikit dan Hafizul Hakim 'on form' malam ini," kata Syed Ahmad.
"Serang dah sedap malam ini, walaupun padang macam bendang. Tapi penjaga gol pula main-main dekat belakang," jelas Rahman Ramlan.
"Main yang tidak membosankan," ujar Barba Rossa.
Selepas ini, Sri Pahang akan bertemu Sabah FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2024/25 manakala KL City pula akan terbang ke Thailand untuk berdepan Buriram United dalam kejohanan Piala Shopee. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram