Mimpi buruk mula landa Liverpool, hilang khidmat bek kebal menjelang aksi getir berdepan Spurs


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Trent (66) menerima rawatan akibat kecederaan dialami ketika berdepan Bournemouth dalam aksi EPL pada Sabtu lalu. — Agensi

HARAPAN Liverpool untuk menjuarai semua pertandingan disertai di peringkat domestik dan Eropah hampir lebur susulan kekalahan tipis 0-1 dialami dalam separuh akhir pertama Piala Liga kepada Tottenham Hotspur.

Dalam perlawanan di tempat lawan pada 9 Januari lalu, skuad The Reds berputih mata apabila tumpas dengan gol tunggal daripada Lucas Bergvall yang merupakan kekalahan kedua pasukan sejak Arne Slot mengambil alih.

Kekecewaan itu bagaimanapun boleh ditebus pasukan Merseyside tersebut dalam aksi timbal balik di gelanggang sendiri pada Jumaat ini dengan hanya dua gol diperlukan mereka.

BACA LAGI: Skuad emas Liverpool hampir tamat, Van Dijk pula dipancing sertai Trent ke Real Madrid

BACA LAGI: Real Madrid sanggup tunggu, tak mustahil Liverpool 'hilang' Trent secara percuma

WhatsApp Image 2025-02-05 at 8.53.11 PM

Arne Slot (kiri) perlu mencari penyelesaian akan kehilangan bek kanan utamanya itu. — Agensi

Namun, tugas berat menanti anak-anak buah Arne Slot pada aksi berkenaan apabila laporan terbaru menyatakan bek kanan utama pasukan, Trent Alexander-Arnold tidak akan dapat diturunkan.

Ia berikutan kecederaan paha dialami pemain antarabangsa England tersebut yang dialami ketika mereka bertemu Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.

"Dia (Trent) tidak akan beraksi pada Jumaat dan kita akan lihat sama ada dia akan dapat beraksi pada Isnin depan. Tetapi, saya boleh mengesahkan dia tidak akan dapat diturunkan berdepan Spurs.

"Jika kita lihat ketika dia meninggalkan padang sebelum ini, dia jelas mengalami kecederaan kaki, jadi itu memaksanya untuk melupakan perlawanan pada Jumaat ini," kata Slot.

Trent merupakan watak utama skuad The Reds sejak mencipta debut pada 2018 dengan kebolehannya dalam melakukan hantaran jauh menjadikannya seorang bek sayap dengan kebolehan sedemikian.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 8.51.59 PM

Bradley merupakan calon terbaik untuk menggantikan Trent pada Jumaat ini. — Agensi

Kehilangan bek berusia 26 tahun tersebut akan mendesak Arne Slot dan Liverpool untuk menurunkan pemain muda, Conor Bradley yang sudah beraksi beberapa kali musim ini.

Dalam pada itu, pengurus skuad The Reds itu menegaskan dia tidak perlu membuat sebarang rombakan besar-besaran terhadap pasukannya meskipun kelebihan tidak berpihak kepada mereka ketika ini.

"Sekiranya anda menyarung jersi Liverpool, anda perlu memberikan segalanya untuk meraih kemenangan meskipun kita ketinggalan dengan satu gol, kita akan cuba sebaik mungkin.

"Malah, sebelum ini, kita sudah cuba sehingga minit-minit akhir tetapi kita dibolosi ketika kita kekurangan pemain yang ketika itu sedang menerima rawatan," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram