Legenda Liverpool ‘backup’ pengadil, pelik ramai persoal penalti lawan Bournemouth


  • Podium
  • Ahad, 02 Feb 2025

Gakpo (bawah) dikatakan sengaja merebahkan badannya bagi membolehkan Liverpool mendapatkan sepakan penalti. — Agensi

TIGA kemenangan berturut-turut dicatatkan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 selepas mereka menundukkan Bournemouth 2-0 di tempat lawan pada Sabtu.

Keputusan itu amat menggembirakan penyokong The Reds kerana ia meletakkan mereka sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Arsenal selain turut memiliki kelebihan dari segi jumlah perlawanan.

Namun, aksi di Stadium Vitality itu menerima perhatian penyokong EPL yang beranggapan pengadil perlawanan bersikap berat sebelah terhadap Liverpool, terutamanya ketika memberikan sepakan penalti pada babak pertama.

BACA LAGI: 'Kita ada 1 misi', Gakpo mahu all-out lawan Man United demi gelaran liga

BACA LAGI: Hanya Cody Gakpo perbelanjaan terbesar kami — Klopp

WhatsApp Image 2025-02-02 at 7.55.27 PM

Liverpool semakin selesa di persada EPL selepas 23 perlawanan. — Agensi

Berdasarkan ulang tayang, ramai beranggapan anak-anak buah Arne Slot tidak sepatutnya dihadiahkan tendangan terbabit kerana bek tuan rumah, Lewis Cook tidak melakukan kekasaran terhadap Cody Gakpo.

Bagaimanapun, semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati hal sebaliknya meskipun jelas kelihatan bintang Liverpool itu sengaja merebahkan tubuhnya.

Keputusan pengadil itu kemudiannya dipersoalkan dengan rata-rata peminat EPL beranggapan kelebihan sebegitu diberikan kerana mahu memberikan takhta 2024/25 kepada skuad The Reds.

Perbincangan hangat di media sosial tersebut turut menerima perhatian legenda Liverpool, Michael Owen yang beranggapan sepakan penalti perlu diberikan dalam situasi sedemikian.

Dalam satu ciapan di laman X peribadinya, bekas penyerang antarabangsa England berkenaan berasa pelik apabila orang ramai beranggapan kesilapan sudah berlaku dalam perlawanan itu.

michael-owen-liverpool-1591698451-41001

Owen tampil mempertahankan keputusan pengadil dan Liverpool. — Agensi

"Saya menonton ulasan dan kupasan selepas aksi tersebut dengan ramai hairan mengapa pengadil memberikan penalti kepada Liverpool. Sudah jelas ia adalah kesalahan, bagaimana pengadil dapat mengesannya sementara orang lain beranggapan sebaliknya?" tulisnya.

Sepanjang kempen 2024/25, beberapa keputusan pengadilan terus dipersoalkan dengan situasi itu kerap merugikan semua pasukan, termasuk skuad The Reds dalam perlawanan sebelum ini.

Tetapi, badan pengadilan di liga tersebut akan mengatasi masalah timbul tersebut dengan mengeluarkan kenyataan berserta penjelasan di sebalik keputusan dibuat.

Skuad The Reds akan berehat daripada aksi EPL buat sementara waktu apabila akan menerima kunjungan Tottenham Hotspur dalam aksi separuh akhir Piala Liga pada Jumaat sebelum meneruskan kempen Piala FA berdepan Plymouth Argyle. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram