SATU persatu pemain Pahang Rangers FC (PRFC) meninggalkan pasukan, yang terbaharu tonggak import Indonesia, Guntur Sulistyo juga tidak lagi bersama juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 itu.
Sebelum Guntur, Saiful Nizam Md Ali dan Nazreen Saude yang berkelana ke Selangor FC serta Sufri Shamil yang ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan juga secara rasminya telah meninggalkan pasukan itu pada awal Disember lalu.
Menerusi pengumuman kelab berkenaan di media sosial rasmi mereka, Guntur difahamkan memilih untuk menyambung kariernya ke negara kelahirannya, Indonesia dan beraksi bersama Unggul FC Malang.
BACA LAGI: Fizikal berbeza, prestasi skuad kebangsaan antara faktor pemain futsal negara kurang laku
BACA LAGI: Main setakat liga domestik, ke mana hilangnya bakat pemain futsal semasa kebangsaan?
“Pahang Rangers merakamkan setinggi penghargaan kepada Guntur Sulistyo Ariwibowo yang tidak lagi akan bersama kelab untuk kempen musim baru,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Sepanjang tempoh singkat bersama Pahang Rangers dalam kempen Malaysia Futsal Cup, Guntur membuat empat penampilan dan menjaringkan dua gol di pusingan suku akhir menentang Kedah.
“Guntur telah memilih untuk pulang ke Indonesia bagi meneruskan karier, justeru kelab mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepadanya," kata kelab berkenaan.
Pengumuman tersebut jelas menimbulkan perasaan sedih dalam kalangan penyokong skuad Hitam Putih berkenaan susulan Guntur mempunyai kemampuan hebat dalam melakukan rembatan padu dalam usaha merobek gawang lawan.
Guntur secara rasminya meninggalkan Pahang Ranger. — Facebook/PahangRangers
Bukan itu sahaja, penyokong juga kecewa apabila pemain kelahiran Jawa Tengah itu tidak mengotakan janjinya yang pernah meluahkan hasratnya untuk kekal bersama Pahang Rangers pada musim baharu ini.
"Saya belum pasti lagi tentang masa depan. Mungkin dua-duanya (beraksi di Malaysia dan bersama Pahang Rangers). Sebab sasaran saya ialah saya belum mahu pulang ke Indonesia. Tak tahu mungkin sama ada tetap di sini, belum tahu lagi,” katanya pada Oktober lepas.
Sebelum menyertai Pahang Rangers, Guntur mewarnai saingan Divisyen 1 MPFL bersama Gombak TOT United. Meskipun dihimpit dengan kemelut, itu tidak menghalang Guntur menjaringkan 15 gol untuk pasukan itu musim ini.
Selain Pahang Rangers dan Gombak TOT United, Guntur juga pernah beraksi untuk kelab Indonesia, Black Steel FC Papua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram