'Kpah Sherman memang superb', akui sukar beraksi di Temerloh, Kumaahran nekad bantu Sabah 'Top 3' Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 04 Feb 2025

Perjuangan Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia berakhir meskipun mereka berusaha keras untuk mempertahankan benteng pertahanan daripada ditembusi jentera serangan Sri Pahang.

"LUPAKAN Piala Malaysia, fokus pada saingan Liga Super."

Demikian laungan pemain sayap Sabah FC, S. Kumaahran selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2024.

The Rhinos yang berusaha untuk mengakhiri penantian 22 tahun mereka untuk beraksi di final terpaksa menelan pahit apabila tewas 1-2 pada perlawanan kedua di Stadium Temerloh, Pahang yang menyaksikan Sri Pahang FC mara dengan agregat 3-2.

BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan

BACA LAGI: Dari Sabah ke pentas antarabangsa, Nurul Azurin menyerlah cipta 'clean sheet' pertama di Albania

Kedua-dua pasukan memasuki perlawanan kedua setelah terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 17 Januari lalu.

Kumaahran menjadi penjaring gol bagi Sabah pada perlawanan kedua apabila menyempurnakan hantaran daripada penyerang Brazil, Joao Pedro pada minit ke-76.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu mendahului dengan gol sendiri yang dihasilkan oleh pertahanan tengah Sabah, Park Tae-su pada minit ke-71 dan memperoleh gol kedua pada masa tambahan apabila penyerang dan kapten, Kpah Sherman, menjaringkan gol kemenangan m-106.

WhatsApp Image 2025-02-04 at 11.12.19

Meskipun menggegarkan jaring Tok Gajah namun gol Kumaahran (kiri) tidak berhasil membawa Sabah ke final Piala Malaysia.

Kumaahran yang berusia 28 tahun berkata, mereka sangat kecewa selepas kekalahan tersebut dan mengakui bahawa padang yang digunakan agak sukar meskipun tidak hujan.

Namun, dia tetap memuji prestasi luar biasa dan kepimpinan yang dipamerkan oleh Sherman dalam memastikan Tok Gajah meraih kemenangan.

“Padang di Temerloh tidak mudah untuk dimainkan. Kami tidak bernasib baik, manakala mereka bernasib baik. Saya harus katakan Kpah adalah pemain yang hebat.

“Apabila kami masuk ke bilik persalinan, suasana sangat sunyi. Selepas menyegarkan diri, jurulatih Martin Stano memberi kata-kata semangat. Kami sudah memberikan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi kami,” kata Kumaahran yang pernah bermain untuk Pahang pada 2020.

Kumaahran kini menyeru agar rakan-rakannya untuk memberi tumpuan kepada saingan Liga Super dan berusaha mencapai kedudukan tiga teratas.

“Kejohanan Piala Malaysia sudah berakhir. Kini, kami akan fokus untuk menjadi tiga pasukan terbaik dalam liga. Kami akan lupakan keputusan ini,” katanya.

Berkaitan dengan prestasinya, Kumaahran berkata, musim ini bukanlah mudah baginya dari segi minit permainan dengan hanya 11 penampilan dalam semua perlawanan untuk Sabah dan menjaringkan dua gol.

“Saya diberi peluang beraksi menentang Pahang dan saya percaya saya telah menggunakannya dengan baik. Saya bukan pemain utama musim ini, tetapi setiap kali diberi peluang, saya memberikan yang terbaik dan membuktikan pemilihan saya," ujarnya.

Sabah kini berada di tangga ketiga dalam carta liga dengan mengutip 32 mata daripada 17 perlawanan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram