Sambutan hari lahir istimewa, Amorim bawa isteri ke restoran kegemaran Alex Ferguson, CR7


  • Podium
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Amorim (belakang) bersama pasangannya dalam perjalanan untuk menyambut hari lahir ke-40 pengurus tersebut. — Agensi

WALAUPUN baru sahaja tiga bulan berkhidmat buat Manchester United, Ruben Amorim sudah menempuhi pelbagai cabaran bersama kelab itu, baik di dalam mahupun di luar padang.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pengurus tersebut hanya meraih 14 mata daripada 12 perlawanan hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri direkodkan.

Di peringkat Eropah pula, dia masih boleh tersenyum kerana dalam kesemua empat pertembungan Liga Europa UEFA (UEL), skuad The Red Devils mencatatkan rekod 100 peratus untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

BACA LAGI: 'Berubahlah', Amorim beri nasihat buat Rashford demi selamatkan karier di Man United

BACA LAGI: Anggap komen Man United pasukan paling teruk hal mengarut, legenda Liverpool bidas Amorim

bcab7100-c709-11ef-9427-7bb1b2b63a95

Tekanan mula dirasakan Amorim selepas tiga bulan bersama Manchester United. — Agensi

Secara keseluruhan, Amorim memulakan kariernya bersama Manchester United dengan langkah kanan meskipun mengakui tekanan dialami adalah cukup hebat dan tidak seperti mana dialami ketika di Portugal bersama Sporting Lisbon.

Malah, pengurus muda itu sempat berseloroh apabila ketika sambutan hari lahir ke-40 pada Isnin lalu, dia berasakan dirinya sudah mencecah 50 tahun disebabkan tekanan dialami sepanjang berada di England.

Cabaran ditempuhi bersama skuad The Red Devils bagaimanapun bukanlah penghalang buatnya untuk meraikan hari bermakna itu bersama insan tersayang apabila Amorim difahamkan membawa isterinya, Joao Diogo untuk meluangkan masa istimewa.

Berdasarkan laporan Daily Mail, pengurus terbabit kelihatan tiba di Restoran Cibo yang amat dikenali di England, termasuk dalam kalangan bintang serta pegawai Manchester United.

WhatsApp Image 2025-02-01 at 1.35.20 PM

Alex Ferguson (kiri) ketika bertemu Ten Hag di Restoren Cibo. — Agensi

Bekas pengendali The Red Devils, Erik ten Hag sebelum ini difahamkan bertemu legenda kelab, Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan sedikit nasihat ketika dia berdepan tekanan hebat bersama pasukannya.

Cristiano Ronaldo juga pernah menjemput rakan sepasukannya ke restoran ternama itu dalam usahanya mencipta hubungan baik sejurus kembali ke Stadium Old Trafford beberapa musim lalu.

Jadi, keputusan Amorim untuk menikmati juadah tengah hari bersama isterinya di Restoran Cibo adalah sesuatu yang menarik kerana dia seperti sudah memahami selok-belok di Manchester meskipun baru sahaja tiga bulan menguruskan pasukan terbabit.

Tidak cukup dengan itu, pengurus berkenaan turut menerima 'hadiah' bermakna daripada anak-anak buahnya sempena hari lahir ke-40 itu apabila skuad The Red Devils mencatatkan kemenangan UEL ke atas FCSB dari Romania pada Jumaat.

Persembahan bergaya daripada pasukannya diharapkan dapat diteruskan apabila mereka akan menerima kunjungan Crystal Palace pada Isnin dengan tiga mata penuh boleh mengukuhkan kedudukan dalam carta. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram