
JIKA Liga Super sebagai divisyen teratas Liga Malaysia (Liga M) dihidang dengan masalah kredibiliti pengadil dek tidak telus dalam memberi keputusan perlawanan, lain pula cerita kisah di saingan liga sosial.
Seorang pengadil dalam liga sosial kini berhadapan dengan masalah kewangan yang serius apabila dia dilaporkan berhutang mencecah RM7,400 akibat tidak membayar sewa padang dalam 10 perlawanan yang dikendalikan.
Berdasarkan hantaran dimuat naik footballgombak, laman Instagram berkenaan memaklumkan pengadil tersebut yang lebih dikenali sebagai Ref Bard masih belum menyelesaikan penggunaan slot padang sejak November 2024.
BACA LAGI: 'Hanya JDT, Selangor selangkah ke depan, MFL perlu hidupkan api kemeriahan bola sepak'
BACA LAGI: Satu-satunya peserta lelaki Klinik NSL, atlet memanah, kriket mahu uji kesukaran bola jaring
Walaupun pelbagai janji telah dibuat, sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima. Difahamkan, pengadil yang sehingga kini masih tidak dapat dijejaki itu juga merupakan penganjur bersama liga amatur tersebut.
Susulan kegagalan menyelesaikan hutang berkenaan, pihak pengurusan telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis pada 13 Januari 2025 sebagai langkah rasmi bagi menangani perkara ini.
"Kami sentiasa menegakkan profesionalisme, memastikan setiap urusan dijalankan secara telus dan adil. Fasiliti ini memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti dan kami menghargai setiap individu yang menghormati tanggungjawab mereka terhadap operasi fasiliti ini.
"Namun, untuk memastikan kelestarian operasi dan manfaat kepada semua, tindakan segera amat diperlukan. Kami menyeru Ref Bard untuk segera menyelesaikan tunggakan ini bagi mengelakkan tindakan lanjut.
"Pihak pengurusan akan terus mengambil langkah yang perlu bagi melindungi kepentingan fasiliti dan komuniti bola sepak setempat. Terima kasih atas sokongan anda. Sama-sama kita terus membawa persekitaran yang positif," kata hantaran tersebut.
Masalah sebegini jelas dikhuatiri akan memberi impak terhadap kelangsungan liga sosial berkenaan dan pastinya akan ada pasukan yang turut melahirkan rasa kecewa akibat sikap tidak bertanggungjawab pengadil itu.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan dari pengadil terbabit berhubung dakwaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram