
SAINGAN Liga Super Bola Jaring (NSL) musim ini menyaksikan sebanyak lapan pasukan bakal bersaing bagi merebut kejuaraan daripada juara bertahan, Johor Jewels yang menjuarainya sepanjang tiga tahun berturut-turut.
Pertandingan yang membuka tirainya di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu itu memperlihatkan empat perlawanan berlangsung dengan keputusan menarik dicatatkan.
Namun, pesaing utama kali ini, Selangor Angels memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas kepada Putrajaya Dynamites dengan keputusan 27-48.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas tonggak Kedah Sunshine sanggup kerja lebih bantu Terengganu Marvels di NSL
BACA LAGI: Kehadiran 15 bintang import 7 negara hangatkan NSL 2025
Selangor Angels menumpaskan lawan mereka itu dalam aksi kedua NSL musim ini. — Facebook/NSL
Keputusan terbabit sudah tentu pahit untuk ditelan pasukan bimbingan Nurhayatianim Abdul Rahman selepas mereka membawa masuk beberapa pemain baharu bagi musim 2025.
Kekecewaan itu bagaimanapun tidak meranapkan kesungguhan Selangor Angels yang kembali bangkit untuk meraih kemenangan pertama apabila menundukkan Pahang Tulips dalam aksi kedua mereka pada Ahad.
Tetapi, kemenangan itu dicemari dengan berita kurang menggembirakan apabila kecederaan menimpa dua tonggak pasukan Lembah Klang iaitu Norlin Aktar dan Noramirah Dayana.
Kehilangan Noramirah yang beraksi sebagai penjaring gol (GS) serta Norlin yang merupakan penahan gol (GD) sememangnya perkara mahu dielakkan kerana kehadiran masing-masing amat diperlukan Selangor Angels.
Tonggak utama pasukan, Aminah Ahmad turut mengakui masalah itu membelenggu rakan sepasukannya sejak aksi berdepan Putrajaya Dynamites, namun cita-cita besar diletakkan membolehkan kemenangan dicatatkan.
"Kami bersyukur kerana kami dapat melakukan yang terbaik. Sebenarnya, bagi aksi pada Sabtu, perlawanan itu amat sengit. Tetapi, kami sepasukan dapat menjalani pemulihan.
"Tetapi, hari ini (Ahad), kami berjaya mencapai sasaran (untuk menang) dan sebenarnya, ramai cedera tetapi kami semua hadir dengan keazaman," katanya selepas perlawanan.
Berdasarkan video dimuat naik di laman media sosial NSL, kecederaan dialami kedua-dua tonggak Selangor Angels itu agak serius dengan Norlin terpaksa diusung untuk mendapatkan rawatan.
Tetapi, pasukan itu masih mampu melakar kemenangan pertama musim ini apabila penyerang gol (GA), Sirima Samnaree beraksi cemerlang sehingga dinobatkan pemain terbaik perlawanan.
Untuk aksi minggu depan, Selangor Angels akan bertemu KL Wildcats pada Sabtu sebelum meneruskan kempen dengan aksi menentang Perak Phoenix pada hari keesokannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram