
SELEPAS 11 tahun tidak menghiasi pentas final Piala Malaysia, Sri Pahang akhirnya mengesahkan tiket ke pusingan akhir selepas menewaskan Sabah FC dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, Pahang pada Ahad.
Skuad Tok Gajah menewaskan Sabah menerusi agregat 3-2 iaitu menang 2-1 pada separuh akhir kedua hasil ledakan Kpah Sherman dan jaringan sendiri Park Tae-su.
Sebelumnya, Pahang seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Likas, 18 Januari lalu.
Kali terakhir Sri Pahang melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan JDT dalam penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 usai 120 minit.
BACA LAGI: Lupakan episod duka Piala Malaysia, Akinade tagih kebangkitan Sang Penyu di bumi Bangkok
Meskipun atas kertas, sangat tipis peluang untuk Sri Pahang menewaskan Harimau Selatan lagi-lagi dua pemain utama mereka iaitu itu Manuel Hidalgo dan Kpah Sherman kemungkinan tidak akan diturunkan.
Kehilangan Hidalgo disebabkan statusnya sebagai pemain pinjaman JDT, manakala Sherman pula menerima penggantungan perlawanan selepas menerima kad kuning pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada Ahad.
Meskipun dua keadaan itu seolah-olah tidak merestui skuad Pantai Timur berkenaan untuk merangkul trofi piala kejohanan berprestij tersebut, individu terdekat Tok Gajah berfikir sebaliknya.
Nwakaeme (kiri) optimis Sri Pahang boleh mampu menjulang trofi final Piala Malaysia.
Bekas pemain Sri Pahang FC, Dickson Nwakaeme optimis skuad kendalian Fandi Ahmad akan mampu mengulang sejarah 2014 mereka dan sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun Piala Malaysia mereka.
"Mencipta semula final Piala Malaysia 2014. Sejarah akan berulang. Semoga maju jaya kalian," katanya menerusi Insta Story pada Ahad.
Untuk rekod, pemain yang dikenali sebagai Orang Besi itu ternyata mempunyai kenangan manis bersama-sama Sri Pahang apabila dia pernah meraih kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014.
Sri Pahang jelas sekali begitu dekat di hati Nwakaeme yang sudah tidak lagi bermain secara profesional. Malah, tidak terkejut sekiranya pemain berasal dari Nigeria itu masih mengikut perkembangan kelab Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram