Kemarau 22 tahun ke final Piala Malaysia, fans Sabah salahkan kredibiliti Martin Stano tak setanding OKS


  • Podium
  • Isnin, 03 Feb 2025

Sabah terpaksa akur gagal mara ke pentas akhir Piala Malaysia selepas ditewaskan oleh Sri Pahang pada Ahad. — Sabah FC

PENANTIAN 22 tahun Sabah FC mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 dinafikan oleh Sri Pahang FC apabila tewas menerusi agregat 2-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang pada Ahad (02 Februari).

Ia sekali gus meranapkan impian anak-anak buah Martin Stano untuk membawa Sabah ke pentas akhir selepas ditundukkan oleh Sri Pahang 1-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia itu.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi sehingga ke masa tambahan selepas terikat seri 1-1.

BACA LAGI: 'Hanya JDT, Selangor selangkah ke depan, MFL perlu hidupkan api kemeriahan bola sepak'

BACA LAGI: Kisah misai 'kontot' Roque Mesa, aksi di Liga Eropah bakal bantu JDT layak ACLE?

Penyerang Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira pasukan selepas menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang lawan, Damien Lim pada minit ke-107.

Keputusan tersebut menyaksikan Pahang berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir sekali gus mengulangi pentas akhir Piala Malaysia 2014 yang menyaksikan Tok Gajah menjulang piala tersebut.

Kecewa dengan kekalahan itu, segelintir penyokong Sabah berharap pihak pengurusan untuk menggantikan ketua jurulatih semasa, Stano untuk digantikan dengan individu yang lebih berpengalaman.

Dalam ruangan komen media sosial Sabah, pemain ke-12 Sang Badak mendakwa Stano tidak mempunyai pengalaman luas sebagai pengendali apabila taktikal diterapkan olehnya berbeza dengan pengendali terdahulu, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut Muhammad Janie Abdullah, pelantikan Stano merupakan satu kesilapan oleh pihak pengurusan kerana jurulatih itu merupakan staf kecergasan Sabah sebelum memangku jawatan ketua jurulatih.

"Kesilapan pengurusan Sabah FC sendiri kerana mengambil jurulatih kecergasan sebagai ketua jurulatih. Kalau dilihat dari segi taktikal, corak permainan dan strategi memang Martin Stano masih belum layak untuk jadi 'coach' kekal Sabah.

"Dalam tiga perlawanan akhir betul-betul mengubah corak dan kombinasi Sabah dari laju jadi perlahan. Jika pengurusan Sabah masih kekalkan Martin Stano dalam jangka masa lama, tidak mustahil taring Sabah akan menurun," dakwanya.

Begitupun, Dal Segno Sounds membidas komen Janie kerana mahu penyokong berpijak kepada realiti kerana Sabah tidak mempunyai bajet tinggi seperti pasukan-pasukan lain.

"Sabah FC duit mungkin tidak cukup untuk bayar jurulatih mahal. Stano ini boleh juga tengok (prestasi) Liga Super masih lagi kekalkan momentum dengan kemenangan.

"Kalau saya pun mahu macam pengurusan, stadium, pemain dan jurulatih macam JDT. Tapi semua itu perlukan duit," ujarnya.

Untuk rekod, Stano dilantik menjadi pengendali Sabah pada 10 Disember lalu bagi menggantikan Kim Swee yang menyertai Persis Solo di Indonesia.

Jurulatih kelahiran Slovakia itu mungkin tidak mempunyai pengalaman luas sebagai pengendali pasukan apabila kali terakhir beliau berkhidmat di posisi itu pada 2010 sebagai pembantu jurulatih kelab Slovakia, Spartak Trnava.

Selepas itu, Stano menyertai keluarga Harimau Muda pada 2011 sebelum dinaikkan pangkat untuk membarisi barisan kejurulatihan Harimau Malaya pada 2013 sebagai jurulatih kecergasan.

Pada 2014, khidmat Stano ditagih oleh skuad kebangsaan Yemen dan dua kelab di Liga Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum kembali menyertai Harimau Malaya.

Selepas khidmatnya tidak diperlukan skuad kebangsaan, Stano menyertai barisan kejurulatihan Kim Swee di Sabah pada 2023 sebagai jurulatih kecergasan sebelum dinaikkan pangkat 10 Disember tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram