![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/02/3142753.jpeg)
MENJELANG hari raya, membeli baju baharu menjadi satu tradisi yang tidak dapat dielakkan oleh kebanyakan orang. Bagi pempengaruh di media sosial, memilih baju raya bukan sekadar soal penampilan tetapi juga tentang keselesaan, kualiti dan tentu sekali, harga.
Dalam satu sesi temu bual ringkas bersama beberapa pempengaruh terkenal, Majoriti mendapat pandangan menarik tentang jumlah yang mereka sanggup untuk belanjakan bagi persiapan sepasang baju raya mereka.
Bagi Khairunnisa Zamri atau lebih popular dengan panggilan Kesh berkata, belanjawan untuk baju raya tahun ini adalah sekitar RM1,500 bagi dua hingga ke tiga pasang.
BACA LAGI: Wanita lebih mudah alami migrain? Berikut penjelasan pakar perunding neurologi, punca kekal misteri
Bagi Kesh, membelanjakan lebih pada baju raya merupakan 'self-reward' untuknya. — Instagram/keshzamri_
Menurutnya, dia merasa bahawa setelah bekerja keras, adalah wajar untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan membeli baju raya yang cantik dan berbaloi.
"Sebelum ini saya tak mampu nak beli banyak, tapi tahun ini, saya rasa memang sudah tiba masanya untuk menikmati hasil usaha saya.
"Kalau sepasang harga paling mahal RM600 ke RM700. Memandangkan saya ada kemahiran menjahit juga, jadi saya tahu kerja menjahit bukan satu kerja yang mudah," katanya kepada Majoriti.
Walaupun harganya agak tinggi, dia tidak berkira asalkan baju tersebut memenuhi citarasa serta memberikan keselesaan.
Sementara itu, Eika Zulaika juga mempunyai pandangan yang hampir sama seperti Kesh. Bagi dia, hari raya pertama adalah waktu yang paling sesuai untuk berbelanja lebih.
"Saya sanggup untuk belanjakan sekitar RM500 untuk satu pasang baju raya yang cantik dan selesa, tetapi untuk hari raya kedua atau ketiga, saya lebih suka memakai baju yang lebih santai dan boleh dipakai semula," ujarnya.
Bagi pencipta kandungan seperti Syain Naquiyah, keselesaan adalah faktor utama dalam pemilihan baju raya.
"Bagi saya, baju raya mestilah selesa dan boleh dipakai sepanjang hari tanpa rasa panas atau rimas. Sebab kita tahu, cuaca di Malaysia boleh jadi agak panas.
Pun begitu, Syain juga tidak menolak untuk berbelanja lebih pada hari raya pertama, terutamanya jika baju itu mempunyai rekaan yang mewah dan berkualiti.
Senada dengan Syain, Jazlin Nasuha juga sanggup berbelanja lebih pada hari raya pertama yang mana kebiasaannya dia akan memakai semula aksesori dan baju raya untuk hari kedua dan ketiga.
Sebagai seorang ibu, Jazlin memberi penekanan kepada keselesaan dan praktikaliti.
"Bagi saya, baju raya mesti mudah digayakan dan tidak terlalu ketat. Sebagai seorang ibu, saya perlu bergerak aktif, jadi saya lebih memilih material yang ringan dan sejuk," jelasnya.
Fatimah tidak kisah untuk belanjakan sekurang-kurangnya RM1,500 jika rekaan baju itu benar-benar cantik. — Instagram/FATIMAHZAHRAOTHMAN
Perubahan harga dan kualiti
Tahun ini, beberapa pempengaruh menyedari peningkatan harga baju raya, terutamanya untuk reka bentuk yang lebih moden.
Bagi Fatimah Zahra Othman pula, dia sanggup membelanjakan lebih jika baju itu berbeza dan ekslusif.
"Saya tak kisah untuk belanjakan sekurang-kurangnya RM1,500 jika rekaan baju itu betul-betul cantik.
Aween berkata, pentingnya keseimbangan antara reka bentuk, keselesaan dan kualiti fabrik. — Instagram/AWEENISMAIL
Kualiti atau reka bentuk?
Dalam mencari baju raya, pelakon dan juga pengacara, Nik Nor Farzuwin Nik Ismail atau lebih dikenali sebagai Aween Ismail menekankan pentingnya keseimbangan antara reka bentuk, keselesaan dan kualiti fabrik.
Awin, contohnya, berkongsi pengalaman membeli baju raya dari jenama terkenal Seth dan Luna yang memberikan keselesaan maksimum dengan reka bentuk yang elegan.
"Baju yang saya beli dari Seth dan Luna adalah yang paling mahal, tetapi material dan reka bentuknya sangat memuaskan. Saya rasa ia berbaloi dengan harga yang dibayar," katanya.
Bagi mereka yang mementingkan keselesaan dan rekaan yang tidak terlalu ketat, harga mungkin bukanlah isu utama. Seperti yang disebutkan oleh Aween, dia lebih suka membeli baju yang berbaloi dari segi kualiti dan keselesaan, daripada hanya mementingkan harga yang murah.
"Kadang-kadang, jika kualiti baik dengan harga yang tinggi adalah berbaloi," jelasnya.
Tangkap layar memaparkan keputusan kajian mengenai pola perbelanjaan orang awam membeli baju raya setakat lima hari bermula pada Rabu lepas sehingga Ahad.
Pendapat orang awam
Baru-baru ini, Majoriti menjalankan kajian melalui Instagram selama lima hari bagi mendapatkan pandangan menarik tentang pola perbelanjaan orang awam ketika membeli baju raya.
Berdasarkan tinjauan yang melibatkan kira-kira 1,582 responden itu, 49 peratus daripada mereka memilih untuk membelanjakan baju raya berharga bawah RM300. Keputusan ini membuktikan bahawa ramai yang gemar membeli baju raya pada harga lebih berpatutan dan mengutamakan bajet.
Bagi golongan ini, pilihan baju raya yang lebih murah tidak bermakna mereka mengetepikan penampilan atau keselesaan. Sebaliknya, mereka lebih cenderung memilih pakaian yang memenuhi kriteria gaya dan keselesaan tanpa membebankan kewangan mereka.
Dalam konteks ini, ramai yang memandang bahawa sambutan hari raya adalah masa untuk berbelanja, namun tetap mengutamakan pengurusan kewangan yang bijak.
Sementara itu, 30 peratus responden memilih untuk memakai baju raya yang sedia ada tanpa membeli pakaian baharu.
Pilihan ini menggambarkan pendekatan yang lebih praktikal dan mungkin juga dipengaruhi oleh keprihatinan terhadap harga serta kepentingan penggunaan semula pakaian sedia ada yang masih elok kondisinya.
Bagi mereka, tidak membeli baju raya baharu bukanlah sesuatu yang 'melanggar' tradisi sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, 16 peratus responden berpendapat bahawa, harga antara RM300 hingga RM500 adalah berpatutan. Mereka lebih cenderung mencari keseimbangan antara harga dan kualiti, dengan fokus pada rekaan yang menarik tetapi tetap memastikan baju tersebut masih dalam kategori mampu milik.
Walaupun rata-rata memilih untuk berbelanja mengikut bajet, ada juga 4 peratus daripada mereka tidak keberatan untuk membelanjakan lebih daripada RM1,000 bagi sepasang baju raya.
Fenomena ini biasanya datang daripada mereka yang mengutamakan rekaan eksklusif, kualiti fabrik yang tinggi, dan keselesaan yang luar biasa, khususnya untuk hari raya pertama.
Pilihan ini mungkin menunjukkan golongan terlibat melihat baju raya sebagai pelaburan yang berbaloi apabila ia memenuhi keperluan estetika dan fungsi.
Secara keseluruhan, keputusan tinjauan ini mencerminkan bahawa perbelanjaan untuk baju raya bergantung kepada individu dan suasana ekonomi semasa. Bagi mereka yang lebih berhati-hati dengan kewangan, bajet diletak lebih rendah asalkan keselesaan dan gaya tetap menjadi keutamaan.
Sementara bagi sesetengah yang lebih mementingkan kualiti dan rekaan eksklusif, mereka tidak teragak-agak untuk melabur lebih banyak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram