
MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menggantung semua aktiviti di sebuah taman tema terkenal susulan insiden sebuah pelampung dari gelongsor air kaca tercabut dan jatuh ke atas seorang pengunjung.
MBSA mengumumkan tindakan tegas diambil dengan menutup tapak permainan itu dan menggantung aktiviti sehingga kelulusan rasmi diperoleh.
Pihak berkuasa itu menegaskan bahawa semua projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam mesti mematuhi peraturan dan prosedur pihak berkuasa tempatan.
BACA LAGI: Ibu bapa Zayn Rayyan mohon semakan Mahkamah Tinggi tangguh perbicaraan
Ini termasuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada MBSA sebelum sebarang pembinaan atau aktiviti dimulakan.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA menyatakan bahawa beberapa notis amaran telah dikeluarkan kepada taman tema tersebut bagi memastikan pematuhan peraturan.
Tindakan diambil termasuk notis amaran bertarikh 14 November 2024 untuk menghentikan dan merobohkan struktur yang tidak mematuhi peraturan di bawah Seksyen 80 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 (Akta 133), serta memastikan papan tanda pembinaan dipatuhi mengikut Seksyen 82(1) akta sama.
Notis amaran juga dikeluarkan bagi menghentikan kerja pembinaan tanpa kelulusan di bawah Seksyen 72(1)(a), dan notis kompaun bagi bahan binaan yang diletakkan secara tidak teratur di bawah Seksyen 47(2)(a).
Tindakan selanjutnya termasuk Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) pada 22 November 2024, menghendaki permohonan kebenaran merancang bagi pembangunan tanpa kebenaran.
Selain itu, Notis Borang G dikeluarkan pada tarikh sama untuk menghentikan semua aktiviti pembangunan yang tidak diluluskan.
Pada Januari 2025, Notis Borang H dikeluarkan untuk mengarahkan pemulihan tanah kepada keadaan asal selepas gagal mendapatkan kebenaran merancang.
MBSA menyatakan kebimbangan terhadap pihak pengurusan taman tema yang mengabaikan prosedur walaupun telah diberikan pelbagai amaran.
Notis amaran juga telah dikeluarkan pada 19 Januari 2025 untuk menghentikan aktiviti Gelongsor Air Kaca di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, Pindaan 2001, Seksyen 6(1)(a).
Namun begitu, pemantauan mendapati aktiviti tanpa kebenaran masih diteruskan, menyebabkan Notis Denda Ketidakpatuhan dikeluarkan pada 30 Januari 2025 di bawah Seksyen 121 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 (Akta 133).
MBSA kesal dengan insiden pada 29 Januari 2025 yang tular di media sosial dan menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama.
Majlis komited dalam memastikan pematuhan undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan orang ramai.
MBSA menggesa semua pengendali taman tema dan industri berkaitan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan orang awam. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram