'Last chance' andai Selangor nak julang piala, Kinoshi perlu fikir 2 kali sebelum turunkan 3 pemain jumpa Penang FC


  • Podium
  • Ahad, 02 Feb 2025

Selangor akan melayan kunjungan Harimau Kumbang bagi aksi kedua Piala Cabaran di MBPJ pada Ahad ini.— Facebook/SelangorFC

PUSINGAN kedua separuh akhir Piala Cabaran menentang Penang FC pada Ahad merupakan peluang terakhir untuk Selangor FC mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2024/2025 ini.

Selepas tersungkur dalam saingan Piala Malaysia dek tewas 3-2 di tangan Sri Pahang FC melalui keputusan agregat dalam aksi pusingan 16 di, Gergasi Merah perlu mendapatkan penutup indah dałam saingan Piala Cabaran untuk menggembirakan penyokong mereka.

Bagaimanapun, Penang FC bukanlah pasukan mudah untuk ditewaskan skuad Gergasi Merah kerana dalam pertemuaan terakhir dalam saingan Liga Super, mereka diikat 1-1 ketika beraksi di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada 25 Januari lalu.

BACA LAGI: Sebelum Harimau Malaya, Selangor FC antara 3 kelab pernah sarung jersi Puma

BACA LAGI: Pernah jalani 'trial' di Jepun, produk AMD disebut sertai Selangor berbanding 2 kelab kerdil

Bukan itu sahaja, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi juga hanya membawa satu bekalan untuk aksi pada Ahad susulan perlawanan separuh akhir pertama di gelanggang lawan sebelum ini, Selangor hanya menang tipis 1-0.

Bukan hanya perlu mempamerkan gaya permainan yang lebih meyakinkan dan kelebihan apabila beraksi di halaman sendiri, Selangor juga perlu menurunkan pemain sesuai untuk aksi penting tersebut.

Berdasarkan dua perlawanan menentang Harimau Kumbang sebelum ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang perlu dielakkan daripada diturunkan dałam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Ahad ini.

1) Nikola Jambor

jambor

Jambor tiba di Selangor pada September lepas. — Facebook/SelangorFC

Nikola Jambor hadir dengan reputasi kurang baik bersama Selangor FC apabila dia kerap berpindah randah dalam kariernya dan mempunyai statistik kurang cemerlang sepanjang beraksi dengan beberapa kelab sekitar Asia serta Eropah.

Tidak dinafikan, pemain berusia 29 tahun itu sudah membuktikan nilai tersendirinya dalam pasukan sejak beberapa perlawanan diturunkan namun Jambor masih mendapat kritikan kerana kadang kala kurang konsisten mengawal bola.

Selain itu, ada juga penyokong Gergasi Merah melihat Jambor masih tidak dapat mencipta keserasian bersama pemain tengah lain jika pemain antarabangsa Croatia itu digandingkan dengan Mukhairi Ajmal, Nooa Laine dan Yohandry Orozco.

“Jambor ini masih lemah dalam kawalan bola dan kadang tidak serasi bersama rakan lain,” kata penyokong Gergasi Merah, Muhammad Sad.

2) Ronnie Fernandes

ronnie

Rekod gol Ronnie kurang digemari penyokong. — Facebook/SelangorFC

Meskipun mencetak gol kemenangan menentang Penang FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu, penyerang import Chile iaitu Ronnie Fernandes bagaimanapun masih tidak digemari penyokong Gergasi Merah.

Salah satu kelemahan terbesar yang boleh dilihat pada diri Ronnie ialah tidak konsisten dalam melengkapkan peluang. Sebagai penyerang, keupayaan untuk menjaringkan gol secara konsisten adalah penting, dan ketidakupayaan untuk memanfaatkan peluang boleh menjadi masalah buat pasukan.

Berdasarkan statistik perlawanan sejak penyerang berusia 34 tahun itu tiba pada awal musim lepas, Ronnie hanya meledak 10 gol dan tiga bantuan jaringan dalam 27 aksi untuk semua pertandingan dia diturunkan.

Penyokong melihat Kinoshi sebaiknya meletakkan pemain import Jordan, Ali Olwan sebagai penyerang tengah dan mengembalikan Faisal Halim untuk menjaga bahagian sayap kiri.

Ali mempunyai rekod yang baik sebagai penyerang tengah apabila mencetak enam gol dan hanya meledak dua gol sahaja dalam kariernya jika diberikan tanggungjawab menjadi pemain sayap kiri.

3) Mukhairi Ajmal

mukh

Mukhairi masih belum kembali ke prestasi sebenarnya. — Facebook/SelangorFC

Pemain tengah muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal mengalami musim kurang memuaskan susulan isu kecederaan dialaminya hingga terlepas lima aksi Liga Super dan beberapa kejohanan lain termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Kecederaan itu nampaknya menjejaskan potensi sebelum ini apabila pemain berusia 23 tahun berkenaan masih sukar untuk mendapatkan rentak bersama pasukan dengan catatan gol dan bantuan jaringan pun tidak menggembirakan penyokong.

Untuk rekod, anak jati Kuantan berkenaan hanya meledak satu gol dan dua bantuan jaringan sepanjang 17 perlawanan Mukhairi diturunkan setakat ini.

Sebagai pemain tengah, pengambilan keputusan yang cepat dan tepat amat penting. Kadangkala, Mukhairi kelihatan sedikit lambat membuat keputusan, sama ada ketika memilih untuk menghantar bola atau memegang bola.

Hal ini boleh menyebabkan kehilangan bola di kawasan berbahaya atau mengganggu aliran serangan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram