'Tiada masalah main dalam hujan', Bobby Gonzales optimis The Rhinos ke final Piala Malaysia, legenda HM yakin tanpa Hidalgo


  • Podium
  • Khamis, 30 Jan 2025

Antara aksi perlawanan antara Sabah menentang Sri Pahang pada 18 Januari lalu. — MFL

SRI Pahang FC dalam misi penting untuk layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 selepas akan melayani kunjungan Sabah FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Temerloh, Pahang pada 2 Februari nanti.

Aksi separuh akhir pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tidak membawa bekalan selesa selepas terikat keputusan 1-1 hasil jaringan Stuart Wilkin dan Kpah Sherman.

Bagi kem Sri Pahang mungkin agak gusar apabila arkitek utama Tok Gajah, Manuel Hidalgo tidak akan beraksi selepas dilayangkan kad merah apabila melakukan terjahan keras kepada Dominic Tan dalam perlawanan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Subramaniam buat fans kagum lepas dilihat fasih 'kecek Kelate'

BACA LAGI: [VIDEO] ‘You speak to him’, reaksi ex import Perak maki pengadil pernah buat fans di rumah terdiam

Menurut bekas pemain Selangor, Mohamad Reduan Abdullah berpendapat Sri Pahang memiliki kelebihan untuk mara ke pentas akhir Piala Malaysia meskipun ketiadaan Hidalgo.

"Tidak dinafikan Hidalgo telah bermain dengan sangat baik dalam perlawanan itu (separuh akhir pertama), tapi dalam situasi ini saya rasa Fandi Ahmad mesti apa pemain simpanan yang layak untuk menggantikan Hidalgo.

"Ketiadaan Hidalgo juga bakal berlakunya pertukaran taktikal dengan Kpah (Sherman) harus mengambil tugas yang lebih baik di barisan serangan.

"Saya lihat Kpah perlu ada sokongan-sokongan di kawasan tengah untuk membantu dia menjaringkan gol," katanya kepada Majoriti.

Reduan

Reduan (kiri) pernah beraksi bersama Allahyarham Mokhtar Dahari di Selangor.

Tambahnya lagi, Sabah wajar memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri pada perlawanan separuh akhir pertama namun segalanya tampak sukar.

"Masa main di Sabah, Sabah patut ambil kesempatan untuk menang di tempat sendiri. Kalau dia (Sabah) seri di tempat sendiri, mesti ada masalah (taktikal) dalam pasukan mereka.

"Perlu sabar dan baiki masalah yang dihadapi Sabah supaya kalau main di Temerloh nanti senario dia agak berbeza, dan harap permukaan padang tidak merencatkan perlawanan.

"Saya rasa Pahang ada kelebihan di halaman sendiri," jelasnya lagi.

Bobby

Bobby kini merupakan ketua jurulatih wanita Sabah FC.

Manakala, bekas pemain Sabah, Bobby Gonzales pula mempercayai kudrat skuad Sang Badak untuk mara ke pusingan akhir Piala Malaysia itu kerana rekod konsisten dalam saingan Liga Super.

"Peluang Sabah masih terbuka untuk layak ke final Piala Malaysia. Kita dapat lihat juga Sabah cukup konsisten dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Pemain-pemain mempunyai motivasi yang tinggi untuk memenangi perlawanan yang akan datang. Dari segi persiapan, kita dapat lihat Sabah sangat positif dan bersemangat.

"Jadi kalau kita cakap mampu, sudah semestinya Sabah mampu untuk layak ke final," katanya kepada Majoriti.

Bobby berpandangan permukaan padang di Stadium Temerloh jika berlakunya hujan tidak akan menjejaskan rentak permainan Sabah dan melihat ketiadaan Hidalgo memberikan kelebihan sempurna untuk Sang Badak mara lebih jauh.

"Pandangan saya Sabah tiada masalah bermain dalam hujan.

"Ini (layangan kad merah Hidalgo) juga memberi kelebihan kepada Sabah yang mana pada aksi lalu kalau kita lihat banyak serangan Sri Pahang dari sebelah kanan melalui Hidalgo.

"Stuart Wilkin akan jadi pemain tumpuan dengan keputusan bakal memihak kepada Sabah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram