[VIDEO] Piya 'sekolahkan' pemain muda, 'Kalau nak suka-suka main petang sajalah'


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Badhri Radzi (kiri) merupakan salah seorang ikon dalam sejarah bola sepak di Kelantan.

LAMBAKAN bintang pada satu ketika dahulu membolehkan Kelantan FA mengecapi pelbagai kejayaan, termasuk meraih gelaran 'treble' pada 2012 setelah menjuarai tiga trofi di peringkat domestik.

Antara tonggak utama dalam skuad The Red Warriors (TRW) ketika itu pastinya ialah kapten pasukan, Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya.

Selain cukup berpengarah dalam kalangan pemain, kualitinya dalam mengambil sepakan percuma dan membuat hantaran meletakkannya sebagai watak utama pasukan.

Namun, menurutnya dalam sebuah video yang dimuat naik di laman penyokong Kelantan - Pride and Soul di Facebook, semangat di atas padang merupakan kunci utama di sebalik kejayaan pasukan ketika itu.

"Pemain muda ketika ini, dia bermain dua atau tiga perlawanan dan tidak berlatih, disuruhnya dimasukkan dia ke dalam padang. Memang anda tidak akan kemana-manalah.

"Kita kena kata ke dalam diri, aku harap dapatlah bermain untuk negara, dapatlah juga berasa. Kalau nak bermain secara suka-suka, lebih baik bermain pada waktu petang sahaja," katanya.

Piya yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan sememangnya mempunyai satu hubungan cukup baik dengan kelab Pantai Timur tersebut, termasuk dalam kalangan penyokong.

Perkara berkenaan masih boleh disaksikan sehingga hari ini apabila dia sering memberikan komen mengenai nasib malang dialami skuad TRW sepanjang musim 2023.

Selain itu, Badhri yang pernah dikenali sebagai 'Captain Marvel' turut mengatakan perasaan dan semangat beraksi buat negeri sendiri memberi satu kepuasan berbeza.

BACA LAGI: [VIDEO] Simpati nasib Kelantan, Piya tanya apa sudah jadi?

555373_321252797928731_183368611717151_789174_207954680_n

Kelantan FA dilimpahi bintang dalam pelbagai posisi pada awal dekad lalu.

"Apabila kita berbakti untuk negeri sendiri ni, puasnya lain. Apabila kita mengangkat negeri sendiri, barulah orang ramai hormat kepada kita.

"Saya pernah merasai muncul juara Liga Perdana 2008 bersama PDRM FC, tetapi kita berasakan biasa sahajalah kerana ia bukan negeri kita. Kalau kita main untuk negeri sendiri, rasa puasnya tu," katanya lagi.

Selepas meninggalkan Kelantan FC pada 2018, Badhri pernah menyertai Perlis dan Kelantan United untuk beberapa musim sebelum menamatkan kariernya pada 2020.

Meskipun kurang meraih peluang bersama skuad kebangsaan, status serta legasinya buat penyokong skuad TRW pastinya sukar dipadam melihat kepada sumbangannya sepanjang kira-kira 10 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram