Banggakan Sang Garuda, bek Indonesia sertai bekas pemain EPL di Jerman


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

Perpindahan Kevin Diks ke Jerman tersebut diumumkan oleh pihak kelab selepas kontraknya bersama kelab Denmark, FC Copenhagen tamat pada Mei.

BEK skuad kebangsaan Indonesia, Kevin Diks sah akan menyertai kelab Bundesliga Jerman, Borussia Monchengladbach pada musim panas ini.

Perpindahan tersebut diumumkan oleh pihak kelab selepas kontrak Diks bersama kelab Denmark, FC Copenhagen tamat pada Mei.

"Borussia menandatangani pemain pertahanan berusia 28 tahun, Kevin Diks, untuk musim 2025/2026 daripada kelab Denmark, FC Copenhagen.

"Pemain yang memiliki darah keturunan Belanda-Indonesia ini tiba secara percuma dan menandatangani kontrak sehingga tahun 2030," ujar Roland Virkus.

BACA LAGI: Patut raih 1 mata tapi ketumpulan penyudah punca TFC tewas — Badrul Afzan

BACA LAGI: Dari pekerja e-hailing ke arkitek atas padang, tonggak Sri Pahang tekad bantu Tok Gajah singkir Sabah untuk ke final Piala Malaysia

Virkus berkata, tonggak Sang Garuda itu merupakan pemain pertahanan berpengalaman yang boleh bermain di mana-mana posisi pertahanan – tengah, kiri atau kanan.

"Kehadirannya memberikan lebih fleksibiliti kepada kami di bahagian pertahanan. Selain itu, dia juga seorang individu yang sangat baik dan jelas tahu apa yang diinginkannya. Kami percaya dia akan sesuaikan diri dengan kami," katanya.

Dalam pada itu, Kevin Diks menyatakan kegembiraannya dengan perpindahan tersebut.

"Saya sangat gembira untuk menyertai Borussia. Borussia adalah kelab besar di Jerman, dan saya menantikan apa yang akan datang.

"Namun, saya masih mempunyai matlamat besar bersama kelab saya sekarang dan ingin memberikan yang terbaik untuk pusingan kedua musim ini bersama FC Copenhagen," kata Diks.

Sejak menyertai FC Copenhagen pada tahun 2021, Diks telah menjadi pemain utama di kelab ibu negara Denmark itu, dengan 158 penampilan dalam semua pertandingan, yang mana menyaksikan dia menjaringkan 20 gol dan menyumbang 19 bantuan gol.

Pada 2022 dan 2023, Diks membantu Copenhagen meraih kejuaraan Liga Denmark, serta memenangi Piala Liga Denmark pada 2023.

Diks turut membuat keputusan untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia dan turun melakukan penampilan pertama bersama Garuda dalam kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jepun bagi musim lalu.

Malangnya, penampilan pertama Diks bersama Indonesia tidak berlangsung lama apabila dia mengalami kecederaan akibat dikasari oleh Kaoru Mitoma, yang memaksanya keluar daripada perlawanan.

Dengan perpindahannya itu ke Borussia, Diks akan bergabung dengan bekas Liga Perdana Inggeris (EPL), Ko Itakura yang berasal dari Yokohama, Jepun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram