SRI Pahang FC berjaya mengikat Sabah FC dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu, hasil disiplin, dedikasi dan azam yang kuat.
Walaupun Sabah lebih mendapat suntikan dan sokongan padu daripada penyokong Sang Badak namun Pahang tampil dengan semangat juang tinggi untuk mengelak kekalahan.
Pahang menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya bertahan walaupun penyerang sayapnya, Manuel Hidalgo dilayangkan kad merah pada minit ke-70 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden 'cabul' Arif Aiman, Theerathon Bunmathan digantung 3 perlawanan
Keputusan seri itu pastinya memberi motivasi tambahan kepada Pahang menjelang aksi timbal balik di Stadium Perbandaran Temerloh, Pahang pada 2 Februari nanti.
Ketua Jurulatih Pahang, Fandi Ahmad, memuji disiplin pasukannya dan menegaskan bahawa mereka akan menghadapi perlawanan kedua dengan keyakinan yang tinggi.
“Disiplin, dedikasi dan azam yang kuat membawa kami ke keputusan ini. Para pemain menunjukkan semangat yang tepat untuk bersaing dengan Sabah.
“Kami tetap bertahan di bahagian pertahanan walaupun selepas Hidalgo dikeluarkan namun kami tetap tenang. Kami berdepan cabaran kerana hujan lebat di Kuantan, tetapi selepas tiba di Kota Kinabalu, kami menjalani dua sesi latihan yang baik dan itu terbukti di padang,” kata legenda Singapura itu.
Sabah memulakan perlawanan dengan penuh semangat apabila pemain tengah Stuart Wilkin menghasilkan penyudah kaki kanan yang sempurna untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin pada minit kesembilan.
Pahang kemudian berjaya mengejutkan penyokong Sabah dengan jaringan penyamaan pada minit ke-66, apabila penyerang Liberia, Kpah Sherman, menamatkan hantaran tepat daripada pemain tengah, Sergio Aguero.
Bercakap mengenai layangan kad merah import kelahiran Argentina itu, Fandi menjelaskan bahawa pemain itu menafikan dakwaan cuba menipu untuk mendapatkan sepakan penalti selepas diasak oleh Dominic Tan pada minit ke-68.
"Saya tidak melihat insiden itu dengan jelas, tetapi Hidalgo memberitahu saya bahawa itu adalah cabaran. Dia tidak berlakon kerana katanya dia mengalami kekejangan selepas cabaran itu.
"Kami terkejut dengan keputusan pengadil, tetapi kami perlu teruskan. Kami akan merindui khidmatnya dalam perlawanan kedua, jadi kini masanya untuk pemain gantian tampil dan buktikan kemampuan mereka," tambah Fandi. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram