
GOL tunggal Lisandro Martinez menyelamatkan Manchester United daripada kecundang di tangan Fulham pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Craven Cottage, London, England pada Ahad.
Percubaan jarak jauh pertahanan Argentina berkenaan terbias sebelum menerjah jaring pada minit ke-78, yang seterusnya kemenangan tipis 1-0 memihak kepada skuad The Red Devils dalam aksi itu.
Kemenangan keempat dalam lima perlawanan terakhir semua pertandingan itu melonjakkan pasukan Amorim ke tangga ke-12 dalam kedudukan, empat mata di belakang Fulham yang berada di tangga ke-10.
BACA LAGI: Skuad Man United naik tren ke London berdepan Fulham bukan perkara pelik
BACA LAGI: Alejandro Garnacho hampiri pintu keluar, sedia tinggalkan Man United demi seteru Chelsea
Bagaimanapun, kemenangan tipis berkenaan tidak menenangkan penyokong Man United apabila sebahagian mereka dilihat melemparkan kemarahan kepada Sir Jim Ratcliffe, pemilik minoriti kelab tersebut susulan caranya menguruskan kelab.
Ahli perniagaan dari Britain itu memperoleh saham minoriti di Manchester United daripada keluarga Glazer lebih setahun yang lalu. Dia dan syarikatnya, Ineos diberi tanggungjawab untuk menguruskan operasi harian kelab tersebut.
Penyokong berharap era baharu di bawah kepimpinan Ratcliffe akan membawa perubahan positif kepada kelab tetapi harapan tersebut nampaknya tidak tercapai selepas pretasi pasukan yang semakin merosot.
Martinez meledak gol kemenangan ke atas Fulham pada perlawanan EPL di Stadium Craven Cottag pada Ahad. — Agensi
Selain prestasi atas padang, Ineos juga membuat perubahan tidak masuk akal di mata penyokong termasuk pengurangan bonus Krismas untuk pekerja dan pemberhentian beberapa program amal kelab.
Selain itu, keputusan Ratcliffe untuk menaikkan harga tiket untuk ahli kelab kepada £66 (RM 376.20) turut mendapat kritikan keras daripada penyokong. Langkah itu menambahkan ketegangan di kalangan peminat yang berang dengan pengurusan kelab pada masa ini.
Insiden terbaru berlaku selepas perlawanan ke atas Fulham apabila beberapa penyokong kelab tidak teragak-agak untuk menyuarakan rasa jengkel mereka terhadap pemilik minoriti itu.
Tangkap layar video penyokong melemparkan kemarahan kepada Sir Jim Ratcliffe.
Sebuah video yang tersebar di media sosial menunjukkan peminat yang marah menuturkan perkataan kasar kepada Ratcliffe, yang kelihatan tidak selesa dan segera mengalihkan perhatian dengan memeriksa telefon pintarnya.
Selain itu, peminat turut memberi amaran bahawa tindakan Ratcliffe lebih teruk berbanding pemilik majoriti sebelum ini iaitu keluarga Glazer. Mereka mengingatkannya agar mengambil kira keadaan ekonomi penyokong.
Walaupun insiden berkenaan mungkin memberikan sedikit kepuasan kepada penyokong yang marah, masih belum jelas sama ada ia akan memberi kesan terhadap dasar dan tindakan Ineos. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram