MANCHESTER United meneruskan pemburuan tiga mata dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka bertemu dengan Fulham pada pagi Isnin, waktu Malaysia.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu mahu meneruskan momentum selepas menewaskan Rangers dalam Liga Europa, Khamis lalu hasil kemenangan 2-1 di Old Trafford.
Berdepan lawan sukar seperti Fulham yang berada tiga anak tangga lebih tinggi daripada mereka dalam saingan EPL, pasti menghadirkan cabaran buat United.
BACA LAGI: Alejandro Garnacho hampiri pintu keluar, sedia tinggalkan Man United demi seteru Chelsea
BACA LAGI: Petanda Man United akan karam makin jelas di sebalik baju pemanas badan Amad Diallo
Namun begitu, persepsi buruk mula kelihatan dalam skuad United dalam perjalanan mereka ke London, England untuk bertemu Fulham.
Hal ini kerana, skuad United dilihat berada di stesen kereta api dan menggunakan pengangkutan awam tersebut untuk ke gelanggang lawan.
Dalam rakaman di media sosial, pemain-pemain seperti Casemiro, Christian Eriksen dan Alejandro Garnacho dilihat secara jelas berjalan di platform menuju ke gerabak disediakan untuk mereka. Malah, Amorim serta barisan kejurulatihannya turut kelihatan.
Akan tetapi, penyerang England, Marcus Rashford tidak kelihatan di platform bersama rakan sepasukan United yang lain.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan, adakah United sedang berjimat cermat hingga terpaksa menggunakan kereta api untuk ke London dan bukannya menaiki kapal terbang atau bas rasmi pasukan?
Hal ini disebabkan sejak Sir Jim Ratcliffe dan syarikatnya, INEOS menjadi pemilik minoriti kelab, United sering melakukan langkah penjimatan yang agresif seperti memotong bajet untuk sambutan Krismas dan bantuan buat bekas pemain.
Akan tetapi, itu bukan sebab utama. Sebaliknya, ia adalah amalan biasa buat United untuk ke London dengan menaiki kereta api kerana lebih efisien.
Ia sudah dipraktikkan sejak era bekas pengurus iaitu Sir Alex Ferguson lagi. Malah, seteru United seperti Manchester City dan Liverpool turut berbuat perkara serupa apabila perlu beraksi di London. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram