'Siapa tak kenal Saddil?', bek sayap Pahang waspada ancaman import berbisa Sabah


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Saddil (kanan) sudah merekodkan empat gol dalam 13 penampilan secara keseluruhan buat skuad Sang Badak musim ini. — Facebook/MFL

PRESTASI tidak menentu dalam saingan Liga Super pasti mahu dilupakan Sri Pahang FC menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Sabah FC di tempat lawan pada Sabtu.

Skuad Tok Gajah yang melayakkan diri ke peringkat berkenaan menerusi kemenangan ke atas Selangor FC dan Perak FC sememangnya bercita-cita besar untuk meneruskan kemaraan selepas kali terakhir berentap dalam perlawanan akhir kejohanan itu lebih 10 tahun lalu.

Namun, skuad Sang Badak yang merupakan tuan rumah turut meletakkan hasrat sedemikian kerana kali terakhir pasukan Borneo tanah air itu beraksi dalam final Piala Malaysia adalah pada 2003.

BACA LAGI: Boleh ganti Saddil, 3 sebab Sang Badak perlu sambar penyerang kacukan Norway-Filipina

BACA LAGI: 'Like' komen usikan ke Persib Bandung, jodoh Saddil Ramdani bersama The Rhinos undang tanda tanya

WhatsApp Image 2025-01-18 at 1.29.48 PM

Kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 2014.

Perlawanan itu sudah tentu menjanjikan pertembungan mendebarkan buat kedua-dua pasukan dengan aksi sengit pasti diharapkan dapat ditampilkan di Stadium Likas, Sabah.

Sabah FC diramal memberi tekanan kepada benteng pertahanan Tok Gajah menggunakan kualiti pemain sayap, terutamanya Saddil Ramdani yang kerap menyukarkan pihak lawan dengan ketangkasan setiap kali memegang bola.

Jadi, untuk mengawal pergerakan pemain kebangsaan Indonesia itu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad pasti meletakkan kepercayaan penuh buat Syazwan Anduk yang turut mengakui kebolehan tonggak skuad Sang Badak tersebut.

"Siapa tidak kenal Saddil dan kemampuannya? Dia sudah berada di Sabah untuk lima tahun dan saya sudah beberapa kali berdepan pemain ini. Saya teruja untuk pertembungan sengit dengannya.

"Tetapi, pertemuan kali ini adalah istimewa kerana ia merupakan aksi separuh akhir Piala Malaysia. Ini tugas besar bagi saya untuk mengekangnya kerana kita sendiri tahu keupayaannya dari segi menggelecek, pergerakan, rembatan dan kualiti dalam mencipta peluang menerusi situasi bola mati," katanya.

473162353_18482708674031124_917716451331354682_n

Syazwan (kiri) tahu akan kualiti dimiliki Saddil selepas beberapa kali bertemu di atas padang.Facebook/Sri Pahang FC

Meskipun mengalami isu kecederaan dan kecergasan, Saddil masih diangkat sebagai watak penting skuad Sang Badak dengan empat gol sudah dijaringkan dalam 13 penampilan secara keseluruhan musim ini.

Sekiranya pemain itu dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, benteng pertahanan skuad Tok Gajah pasti terpaksa bekerja keras supaya tidak mengalami kekalahan teruk.

Oleh itu, peranan untuk cuba menghalang Saddil akan dipikul Syazwan yang turut menyedari persembahan baik akan membuka peluang baginya kembali berada dalam radar skuad kebangsaan.

"Sudah enam tahun saya tidak dipanggil mewakili Harimau Malaya. Saya sememangnya mahu berada dalam pasukan dan saya akan memberikan yang terbaik buat Pahang dalam aksi-aksi akan datang," katanya.

Syazwan menyertai skuad Tok Gajah dari Johor Darul Ta'zim (JDT) secara pinjaman pada 2023 sebelum perpindahan tetap dimeterai awal musim lalu selepas Fandi amat yakin akan kebolehannya.

Sepanjang kempen 2024/25, pemain berusia 28 tahun itu sudah merekodkan 15 penampilan dalam semua kejohanan dengan 10 daripadanya dicatatkan dalam saingan Liga Super. — The Star/T AVINESHAWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram