Tambah garam di luka Sang Kijang Emas, fans TBG pasang hasrat sambar pemain sayap lawan musim depan


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

Nama Fazrul (kiri) semakin meniti di bibir penyokong selepas dia mendapat panggilan Harimau Malaya pada tahun lepas. — Facebook/PerakFC

PERAK FC merekodkan kemenangan terbesar mereka setakat musim ini apabila membelasah pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Manjung, Perak pada Ahad.

Penyerang import dari Brazil, Clayton Da Silva mencuri tumpuan apabila meledak empat gol dalam pertembungan yang didominasi sepenuhnya oleh skuad The Bos Gaurus (TBG) di laman sendiri itu.

Tiga jaringan lagi dihasilkan oleh ketua pasukan, Luciano Guaycochea; Adilet Kanybekov mencetak gol pada minit ke-24 dan Tommy Mawat Bada melebarkan jurang dengan gol keenam pada minit ke-69.

BACA LAGI: Lenjan KDN 7 gol tanpa balas, fans samakan Perak persis Liverpool

BACA LAGI: 'Macam mana game boleh on?', fans Sri Pahang FC pertikai kualiti Stadium Temerloh jejas rentak permainan Tok Gajah

Kemenangan besar diraih pasukan kendalian Yusri Che Lah itu menyaksikan mereka melengkapkan kemenangan bergaya pasukan yang kini mengumpul 22 mata selepas 18 perlawanan, sekali gus menduduki tangga kelima.

Kekecewaan penyokong Kelantan tidak berhenti selepas diaibkan Perak apabila peminat pasukan Seladang menyuarakan hasrat mereka untuk menyambar bintang Kijang Emas, Fazrul Amir untuk musim baharu nanti.

"Musim depan pancing lah Fazrul itu. Rugi tengok dia main dekat KDN FC. Dia dah lah prospek Harimau Malaya," kata penyokong skuad TBG, Abam Braderr.

"Fazrul punya kemahiran itu patut dipandang pasukan lain, mungkin Perak boleh cuba rekrut di," tambah penyokong Perak FC, Lima Lapan.

"Fazrul ini bukan main untuk Harimau Malaya kan, sayang bakat dia kalau main dengan Kelantan," tambah penyokong Perak, Mukhta Musa.

Nama Fazrul semakin meniti di bibir penyokong selepas dia merupakan pemain pertama dari pasukan yang berpangkalan di Kelantan berhasil menyertai skuad kebangsaan sejak 2018 iaitu selepas Shafiq Shaharudin menyarung jersi Harimau Malaya.

Keputusan pengendali ketika itu, Pau Marti Vicente memanggil Fazrul ke skuad Harimau Malaya disambut baik penyokong susulan pemain muda itu mempunyai kepantasan dan skil kawalan bola yang berkualiti sebagai penyerang sayap.

Dengan Kijang Emas yang kini dilaporkan mengalami tunggakan gaji hingga menyaksikan kesemua bintang import memilih untuk keluar daripada KDN FC, membuatkan penyokong Perak yakin dapat merekrutnya.

Dalam pada itu, kekalahan itu menyaksikan pasukan berpangkalan di Pantai Timur berkenaan pula terus terperosok ke dasar Liga Super dengan tujuh mata daripada 17 perlawanan.

Dalam aksi Liga Super seterusnya selepas ini, Perak akan berdepan Kuching City FC di Kuching, Sarawak pada 7 Februari. Kelantan pula menentang Penang FC pada hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram