SABAH FC menghadapi masalah penyudah tumpul yang begitu meruncing dalam kancah Liga Super apabila mengakibatkan pasukan itu keciciran mata berharga dalam empat perlawanan terakhir.
Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah (1-1); Kuala Lumpur (2-2) dan kalah kepada Selangor (2-3).
Malah, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee ditumpaskan 0-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dalam aksi terakhir mereka pada 1 Oktober lalu.
Kemasukan penyerang import dari Guinea-Bissau, Jose Embalo pada jendela perpindahan kedua musim ini mengganti Neto Pessoa tidak banyak membantu memulihkan prestasi The Rhinos.
Pemain berketinggian 1.88 meter itu sekadar mencatatkan satu gol dalam tujuh penampilannya bersama skuad Sang Badak.
Kelibat bekas pemain Selangor FC II ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong Sabah FC. — Facebook
Itu tidak termasuk lagi dengan masalah kecederaan yang menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu terlepas aksi menentang Terengganu FC.
Di saat penyokong Sabah resah dengan nasib pasukan kesayangan mereka, ada khabar angin mengatakan pasukan itu membuat pembelian import secara senyap-senyap.
"Senyap-senyap Sabah FC beli import baru lagi ganti si Embalo tu...patutlah dia tiada di training sudah," tulis Mc Ken di laman penyokong Official Sabah FC Fans Club 2022.
Tangkap layar ciapan Onefootball.my mengenai Amir Abada. — Twitter
Pemain itu merujuk kepada Amir Abada Tawfik yang fotonya sempat dirakam menjalani latihan bersama-sama pemain Sabah FC baru-baru ini.
"Amir Abada, pemain Mesir yang tidak boleh bermain di liga domestik walaupun lahir dan menetap di Malaysia sejak kecil.
"Ini kerana dia tidak boleh membuat kad pengenalan biru dan dikategorikan sebagai foreigner. Kini bermain bersama Selangor Belia di FAS League! Berusia 19 tahun," tulis laman Onefootball.my.
Ada penyokong Sabah berharap Amir Abada boleh beraksi bersama The Rhinos pada musim depan jika prestasinya bagus. — Twitter
Sementara itu, seorang penyokong Sabah, Mohd Saiful memaklumkan bahawa mengikut info yang diterima, pemain itu hanya mengikuti latihan dengan Sabah FC dan bukanlah pembelian import baharu seperti didakwa.
"Mungkin trial (percubaan)...kalau bagus, terus serap untuk musim depan. Bulan ni Liga Super habis dah, jadi boleh buang dan tambah lagi untuk penambahbaikan," tambah Cyrul Mini Farm.
Sabah FC ketika ini berada di kedudukan kedua dengan 36 mata di belakang juara, Johor Darul Takzim yang unggul dengan 49 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram