Kuching-Kedah bukan yang pertama, 3 lagi aksi Liga Super pernah ditunda sampai 2 kali


  • Podium
  • Ahad, 26 Jan 2025

Hujan lebat yang turun di Stadium Negeri, Kuching mengganggu rentak permainan antara kedua-dua pasukan.

PERLAWANAN Liga Super antara Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) yang berlangsung di Stadium Negeri di Kuching, Sarawak pada Jumaat terpaksa ditunda ke tarikh baharu ekoran hujan lebat.

Aksi yang bermula pada pukul 8.15 malam itu dihentikan oleh pengadil Razlan Joffri Ali setelah kira-kira 15 minit permainan sebelum Komisioner Perlawanan, Nizam Ahmad mengumumkan aksi perlu ditunda.

Hujan berterusan menyebabkan permukaan padang di stadium berkenaan berlecak hingga memberikan impak kepada permainan apabila pergerakan bola terganggu akibat takungan air di padang.

BACA LAGI: Elok lagi Liga Kemboja', MFL terus dikecam hebat akibat jadual liga tak tersusun

BACA LAGI: Perubahan tarikh Piala AFF sukarkan MFL 'adjust' jadual baki musim 2024/25

Pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam laman X memaklumkan perlawanan ditunda kepada tarikh baharu atas faktor keadaan padang yang tidak sesuai untuk beraksi.

Ia bukan kali pertama kejadian sebegini berlaku apabila beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini juga menyaksikan aksi ditangguhkan dek masalah cuaca dan faktor lain.

1) Sri Pahang FC - Kuching City

SPKC

Hujan lebat yang berlangsung sepanjang perlawanan menyaksikan aksi terpaksa ditunda ke tarikh baharu. — Facebook/Sri Pahang

Perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC dan Kuching City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di Temerloh, Pahang pada 2 November lepas ditunda berikutan hujan. lebat dan padang ditakungi air.

Sebelum keputusan berkenaan dibuat, pada awalnya kedua-dua pasukan sempat menjalani sesi memanaskan badan dan perlawanan bermula pada pukul 5.15 petang.

Namun, beberapa minit perlawanan bermula, hujan lebat mula melanda dan keadaan itu menyebabkan air semakin memenuhi padang sebelum perlawanan ditangguhkan seketika pada minit ke-30 oleh pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal.

Bagaimanapun, sehingga kini, pengelola bola sepak itu masih tidak mengumumkan tarikh baharu perlawanan antara Sri Pahang dan Kuching City hingga ia menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong.

Untuk rekod, ketika itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan pemain import, Yuki Tanigawa selepas menanduk bola sepakan penjuru pada minit ke-14.

2) Sabah FC - KDA FC

2950445

10 penyokong KDA FC itu menghabiskan kira-kira RM800 setiap seorang untuk hotel dan pengangkutan sahaja sepanjang empat hari di Sabah.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu antara Sabah FC menentang KDA FC sebelum ini ditunda berikutan gelanggang rasmi The Rhinos tersebut kini sedang menjalani proses naik taraf.

Penangguhan perlawanan itu mendapat respons kurang baik dari penyokong kerana MFL mahupun dari kedua-dua pasukan tidak mengumumkan perkara berkenaan lebih awal kepada peminat.

Lebih menyedihkan apabila beberapa penyokong Sang Kenari berasa diri mereka dianiaya susulan perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya untuk menyokong KDA FC bertukar menjadi ‘makan angin’.

Situasi berkenaan berlaku kepada kelab penyokong KDA FC iaitu Jiwa Legasi Kedah (JLK) apabila wakil JLK, Mohd Anuar Shamsudin berkata, mereka tidak boleh menukar tiket penerbangan pada saat akhir susulan tindakan badan pengelola tersebut.

Selepas hampir sebulan perlawanan ditunda, MFL memilih 30 Oktober sebagai tarikh baharu dan menyaksikan The Rhinos mengukuhkan kedudukan mereka pada aksi Liga Super dengan kemenangan bergaya di laman sendiri apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 di Stadium Likas.

3) JDT - Perak FC

2948787

Perlawanan Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik.

Perlawanan tertunda melibatkan Perak FC dan Johor Darul Ta'zim sekali ditangguhkan akibat permukaan padang yang tidak baik susulan hujan lebat sejak petang Sabtu (5 Oktober).

Sebelum ini, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 17 Ogos lalu ditunda pihak MFL akibat hujan lebat serta permukaan padang yang tidak memuaskan di Stadium Ipoh ketika itu.

Selepas dua kali ditunda, venue perlawanan ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor apabila memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.

Kelebihan bermain di laman sendiri menyaksikan Harimau Selatan membelasah Perak FC 5-0 menerusi dua jaringan dari Romel Morales dan hatrik Bergson da Silva. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram