[VIDEO] Dions Cool betul-betul jujur, banyak lagi jersi lebih cantik berbanding kit baharu Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Cools menyifatkan koleksi jersinya jauh lebih cantik daripada jersi Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PELANCARAN jersi baharu Harimau Malaya pada Khamis disambut baik oleh penyokong bola sepak domestik lagi-lagi ia akan menjadi simbolik kepada permulaan baharu untuk revolusi Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Jersi baharu skuad kebangsaan Malaysia itu menampilkan teknologi Ultraweave revolusioner Puma dan direka bentuk untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti serta ketahanan bagi membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi.

Jika bercakap mengenai rekaan kit baharu Harimau Malaya itu, jersi rasmi 'home' dan 'away' rasmi skuad kebangsaan itu direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam.

BACA LAGI: Sebelum Harimau Malaya, Selangor FC antara 3 kelab pernah sarung jersi Puma

BACA LAGI: Pernah berdarah Harimau Selatan, 3 bintang 'lokal' mungkin anda lupa pernah sarung jersi keramat JDT

Apabila dilihat kepada perincian jersi baharu itu, kelihatan corak geometri yang pada bahagian hadapan dengan home menggunakan warna kuning dan hitam (away) memilih putih untuk 'menghidupkan' baju berkenaan.

Meskipun ramai yang memuji, masih ada suara-suara kurang gemar dengan jersi baharu itu apabila menganggap jersi tersebut terlalu 'basic' dan tidak menggambarkan Harimau Malaya sebenar.

Pelancaran tersebut turut mencuri perhatian kapten Harimau Malaya, Dion Cools apabila bintang Buriram United itu menyifatkan koleksi jersinya jauh lebih cantik daripada jersi skuad kebangsaan.

"Secara peribadi, saya mungkin lagi mempunyai banyak jersi yang lebih baik. Tapi secara keseluruhan saya rasa ia masih mewakili Malaysia. Tapi mungkin orang ramai mengharapkan sesuatu yang berbeza," katanya memetik video dimuat naik Futbolita.

Menjengah ruangan komen video berkenaan juga menyaksikan sebahagian penyokong senada dengan Cools apabila mereka melihat jersi skuad kebangsaan itu tidak sepadan dengan harga yang diletak iaitu RM319.

"Jersi Malaysia paling buruk dalam Malaysia?," kata penyokong Harimau Malaya, Luqqie.

"Mengecewakan kita Malaysia diberi jersi template murahan berbeza dengan jersi Puma terbaharu Portugal yang kelihatan premium," tambah penyokong Harimau Malaya, Asep Kang Asep.

"Betul-betul jujur. Dia (Cools) pun tersembur," jelas penyokong skuad kebangsaan, Muxmeen.

Jersi edisi terhad itu kini boleh dibeli di kedai Puma terpilih di seluruh negara. Pengenalan jersi tersebut juga bermakna Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memeterai kerjasama empat tahun dengan Puma yang akan menjadi rakan pakaian rasmi Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram