TERENGGANU FC dijangka turun dengan barisan terkuat dalam menghadapi cabaran PSM Makassar aksi Kumpulan A kejohanan Piala Shopee 2024.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pengendali Sang Penyu, Badrul Afzan Razali di laman Facebook menjelang aksi kedua-dua pasukan di Stadium Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu.
Badrul turut memaklumkan bahawa barisan pemain sudah melupakan kekalahan di tangan Harimau Selatan dan kini lebih bersedia menghadapi PSM Makassar untuk mendapatkan tiga mata penuh.
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan ulas kad merah Hidalgo, Fandi mahu Tok Gajah manfaat peluang di Temerloh
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
"Para pemain sudah melupakan kekalahan kita dalam perlawanan sebelum ini dan respons mereka cukup positif untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya Rabu ini.
"PSM Makassar adalah salah sebuah pasukan terbaik di Liga Indonesia pada musim ini dan kita tidak akan sesekali mengambil mudah dalam membuat persiapan menentang pasukan ini terutamanya apabila kita kini tidak boleh tewas dalam baki perlawanan peringkat kumpulan untuk memastikan kita mampu layak ke peringkat seterusnya," katanya.
Sebelum ini, skuad Peteh itu tidak dapat menurunkan barisan terkuat menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Gong Badak pada Jumaat.
Ia disebabkan beberapa kekangan termasuklah syarat pinjaman yang melibatkan pemain sayap, Safawi Rasid dan tonggak pertahanan, Azam Azmi Murad.
Begitu pun, kedua-dua pemain pinjaman dari JDT itu dijangka menjadi sandaran utama pasukan untuk memburu kemenangan di laman sendiri nanti.
"Dengan kembalinya ketua pasukan, Safawi Rasid dan Azam Azmi serta beberapa orang lagi pemain yang dilihat telah cergas sepenuhnya untuk bermain, saya yakin, Rabu ini kita akan turun dengan barisan terkuat untuk memastikan kita berjaya mendapatkan kemenangan di gelanggang sendiri.
"Saya sentiasa ingatkan para pemain, walaupun kebanyakan dari mereka masih muda, tetapi mereka perlu berfikiran matang dan mentaliti mereka perlu sentiasa berada di tahap terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi.
"Insya-ALLAH, dengan semangat yang ditunjukkan para pemain pada ketika ini, Rabu ini kita akan tampil berbeza," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram