JOHOR Darul Ta'zim IV (JDT IV) dilaporkan akan menggunakan tenaga baharu untuk mengendalikan skuad muda Harimau Selatan itu dan nama jurulatih berdarah Sepanyol dikaitkan untuk posisi berkenaan.
Berdasarkan laporan media Sepanyol, jurulatih kelab CD Castellon iaitu Alejandro Jimenez dilantik sebagai jurulatih skuad JDT IV bagi membantu memperkukuhkan kedudukan mereka pada saingan Piala Belia 2025.
Laporan tersebut juga mengatakan bahawa agak berat untuk mereka melepaskan Jimenez susulan dia merupakan jurulatih terbaik CD Castellon, yang membantu pasukan itu sejak 2021.
BACA LAGI: [VIDEO] Fans Hijau Kuning berang, mutu pengadilan punca KDA FC B tewas kepada JDT
BACA LAGI: [VIDEO] 'Wajar lepaskan ke kelab lain, tanpa Jalil Elias pun JDT tetap baik'
"Di sepanjang tempoh tersebut, dia berjaya membawa pasukan ke kategori tertinggi remaja dan mengekalkan kedudukan pasukan dengan penuh kecemerlangan. Kami boleh mengesahkan bahawa dia akan menjadi jurulatih JDT di Malaysia.
"Walaupun tidak mengendalikan pasukan utama, Jiménez akan bertanggungjawab ke atas pasukan pasukan bawah 18 tahun, yang setaraf dengan pasukan Juvenil A di sini (Sepanyol).
"Jimenez telah menandatangani kontrak jangka panjang dengan kelab setelah menerima tawaran lebih seminggu yang lalu. Tawaran ini dianggap sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh jurulatih itu," katanya memetik laporan esportbase.
Difahamkan, pengendali berusia 31 tahun itu dijangka berlepas ke Malaysia pada akhir Januari, selepas perlawanan terakhirnya bersama Castellón Juvenil A, untuk memulakan tugasnya bersama JDT pada Februari.
Bekas jurulatih CD Castellon, Alejandro Jimenez. — Agensi
Cabaran terbesar Jimenez adalah untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Asia Tenggara khususnya Malaysia sambil membawa pengalaman dan ilmu dari akademi bola sepak Eropah dan Sepanyol.
Pendedahan dari media Sepanyol itu dianggap satu berita mengejutkan susulan jurulatih sebelum ini iaitu Pedro Celda berhasil memenangi kejuaraan Piala Belia 2024 selepas menewaskan Terengganu FC IV.
Pasukan bimbingan Celda menjulang kejuaraan dengan agregat 7-5 selepas terikat 2-2 dalam perlawanan timbal balik pertama di Stadium Pasir Gudang, Pasir Gudang, Johor dan merekodkan kemenangan 5-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram