MENJELANG Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) yang bakal berlangsung Sabtu ini, suasana tidak sihat berlaku apabila wujud isu pemalsuan tandatangan dalam borang pencalonan.
Menerusi satu sidang media dibuat oleh KLHA memaklumkan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan oleh Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur (HockAcademy) yang diterajui oleh Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.
Pengadu yang juga penyandang jawatan Presiden KLHA, I Vikneswaran membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Pantai, Brickfields, Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA LAGI: Stadium Hoki Nasional jadi pentas 26 konsert tahun depan — Hannah Yeoh
BACA LAGI: [VIDEO] Tetap bangga, 4 pencapaian hebat skuad hoki negara walaupun kemarau 24 tahun ke Olimpik
Laporan yang dibuat itu mendedahkan bahawa salah seorang calon daripada HockAcademy iaitu Reginald Alan Netto memaklumkan bahawa dia tidak pernah bersetuju atau tahu menahu berkaitan nama serta tandatangannya pada borang pencalonan.
Susulan beberapa percanggahan yang dikenal pasti pada borang berkenaan menyebabkan KLHA mendapatkan nasihat daripada Pengerusi AGM, Datuk Michael Wong Meng San sebelum disarankan membuat laporan polis terhadap HockAcademy.

Presiden HockAcademy, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.
“Borang yang diisi itu tidak betul kerana mempunyai perbezaan tandatangan di mana salah seorang daripada mereka tidak memberi keizinan untuk menyertai AGM tetapi namanya diisi.
“Setelah itu, dia (Reginald Alan) memberi keterangan yang tandatangan pada borang itu bukan miliknya. Jadi semua perkara ini banyak bercanggah. Kita ambil serius tentang isu tandatangan. Mereka ini adalah orang yang berpengalaman dalam persatuan.
“Tidak masuk akal jika mereka salah isi. Benda seperti ini tidak baik untuk sukan. Jadi kita mengambil keputusan sebulat suara untuk batalkan pencalonan dan menggantung HockAcademy,” kata Vikneswaran.
Vikneswaran berkata demikian ketika ditemui bersama Michael Wong dalam sidang media di Stadium Hoki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu, Vikneswaran berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan berkenaan perkara ini bagi memastikan AGM berjalan tanpa sebarang gangguan.

Laporan polis telah dibuat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman terhadap pemalsuan dokumen bagi tujuan penipuan.
"Pejabat Pesuruhjaya Sukan perlu dimaklumkan mengenai proses ini, dan seharusnya ada semakan dan keseimbangan pematuhan dalam perkara ini. Kami juga telah memaklumkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengenai isu ini.
"Dalam sukan, kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan tingkah laku seperti ini. Individu tertentu tidak seharusnya cuba menjadi semua benda tetapi tidak mahir dalam perkara itu kerana ia tidak memberi manfaat kepada perkembangan sukan.
"Orang yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu berhenti menyebabkan kekeliruan. Adalah sangat mengecewakan melihat kejadian seperti ini berlaku ketika kita sedang berusaha untuk memajukan sukan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
