BARU-BARU ini, pemain tengah Liverpool, Curtis Jones mencetuskan perdebatan hangat selepas mengatakan bekas bintang Chelsea, Eden Hazard adalah lebih baik berbanding rakan sepasukannya, Mohamed Salah.
Pandangan dikongsikan itu menimbulkan usikan daripada penyokong, namun ada pula beranggapan kata-kata sedemikian tidak perlu diungkap kerana hanya akan mengganggu tahap keharmonian pasukan.
Ini kerana sejak Salah hadir dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dia sering dibandingkan dengan bekas penyerang sayap Chelsea itu yang tidak boleh dinafikan kualitinya.
BACA LAGI: Jones bikin panas, dakwa Hazard lebih bagus berbanding Salah
BACA LAGI: 'Memang special', Slot puji melambung Salah, silap-silap kekal di Liverpool
Salah (kiri) kerap dibandingkan dengan Hazard sejak beraksi dalam EPL. — Agensi
Bagaimanapun, bagi pengurus The Reds, Arne Slot, perkongsian dari hati Jones tidak memberi impak terhadap pasukannya apabila dia masih meletakkan kepercayaan penuh buat kedua-dua pemain berkenaan.
Dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Lille pada Rabu, Jones dan Salah diletakkan dalam kesebelasan utama bagi meneruskan rentak cemerlang mereka dalam kejohanan peringkat benua tersebut.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila pada babak pertama, Jones tenang melorongkan bola kepada penyerang sayap berkenaan yang kemudian mudah menewaskan penjaga gol lawan, Lucas Chevalier.
Pemain kebangsaan Mesir terbabit kemudiannya berlari ke arah penyokong untuk meraikan jaringan pembukaan itu sehingga memaksa pihak keselamatan bergegas bagi mengelak insiden tidak dimahukan terjadi.
Namun, Salah kelihatan menikmati momen berkenaan sebelum disertai beberapa rakan sepasukannya, termasuk Jones yang pada awalnya kelihatan seperti meminta maaf.
Jones kemudiannya didapati turut duduk di atas papan iklan sebelum meniru gaya keraian penyerang The Reds tersebut, sekali gus membuktikan tiada sebarang isu hubungan antara mereka.
Gabungan kedua-dua pemain itu jelas membuahkan hasil buat Liverpool setelah mereka mencatatkan kemenangan 2-1 dengan Harvey Elliot menjaringkan gol kemenangan setelah bintang Lille, Jonathan David mengikat kedudukan pada babak kedua.
Tiga mata diraih di laman sendiri itu menyaksikan The Reds mencatatkan rekod 100 peratus selepas tujuh perlawanan UCL musim ini dengan mereka turut berjaya mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram