KUALA Lumpur City FC akan menerima kunjungan Cong An Ha Noi FC (CAHN) dalam perlawanan keempat Kumpulan B saingan Piala Shopee pada Khamis.
Pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu akan berdepan wakil kelab Vietnam bagi mencuri slot ke separuh akhir kejohanan tersebut.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, anak-anak buah Miroslav Kuljanac memiliki peluang yang cerah untuk meraih tiga mata penuh.
BACA LAGI: 'Sikit lagi kena pecat', Kim Swee lakar kemenangan sulung lepas 8 perlawanan
BACA LAGI: Hilang fokus di Likas, Martin Stano akui peluang di Temerloh 50-50
Begitu pun, skuad Warga Kota itu dijangka berdepan tugas getir kerana prestasi semasa CAHN lawan dilihat cukup ampuh dan masih memiliki rekod sempurna dalam kempen tersebut.
Untuk rekod, CAHN memiliki rekod kemenangan 100 peratus dalam Piala Shopee apabila meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan B.
Meskipun begitu, KL City FC masih berpeluang untuk meraih kemenangan di laman sendiri sekiranya mengawal ketat tiga pemain kebangsaan Vietnam yang beraksi bersama kelab itu.
Pasukan Cong An Ha Noi FC akan berkunjung ke Malaysia untuk bertemu KL City FC.
1. Filip Nguyen
Penjaga gol CAHN, Filip Nguyen merupakan antara pemain yang perlu diberi perhatian oleh pasukan KL City FC sekiranya mereka mahu meraih kemenangan di Stadium Cheras.
Dengan rekod cemerlang dan kemahiran luar biasa menjaga gawang, Filip telah terbukti menjadi penghalang sukar untuk lawan-lawan CAHN.
Keupayaan Filip untuk membaca permainan dan kedudukannya yang tepat dalam situasi berbahaya sering kali memberi kelebihan kepada pasukannya.
Oleh itu, pemain The City Boys perlu mencari cara untuk menembus pertahanan kukuh yang diketuai oleh Filip, terutama dengan mempertingkatkan kreativiti dalam serangan dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada.
Selain kebolehan fizikal, ketenangan Filip yang juga pemain kebangsaan Vietnam itu dalam mengawal tekanan juga menjadi faktor penting, menjadikannya aset bernilai buat CAHN.
Kapten Cong An Ha Noi FC, Nguyen Quang Hai (kanan).
2. Nguyen Quang Hai
Nguyen Quang Hai adalah ancaman utama yang perlu diberi perhatian oleh The City Boys jika ingin mara ke peringkat seterusnya.
Sebagai pemain tengah menyerang yang kreatif, Quang Hai yang juga merupakan bintang kebangsaan Vietnam sering menjadi penggerak utama serangan CAHN dengan visi permainan yang tajam dan kemahiran teknikal tinggi.
Keupayaannya untuk mencipta peluang, membuat hantaran berbahaya dan mengubah arah dengan cepat menjadikannya sukar dikawal.
Untuk meraih kemenangan, pertahanan Kuala Lumpur City perlu mengekang pergerakan Quang Hai bagi memastikan dia tidak mendapat ruang untuk membuat serangan.
KL City bakal menggalas tugas berat aksi bertemu CAHN pada Khamis.
3. Van Thanh Vu
Bek kanan CAHN, Van Thanh Vu juga antara pemain yang perlu diawasi oleh The City Boys.
Kemahiran teknikalnya yang tinggi, ketajaman dalam membuat hantaran tepat serta kemampuannya membaca permainan menjadikannya penggerak utama serangan pasukan.
Thanh Vu juga memiliki ketahanan fizikal yang kuat, membolehkannya bertahan dan menguasai bola di bawah tekanan.
Beraksi sebagai bek kanan, pemain berketinggian 1.72 meter itu banyak memainkan peranan penting dalam membantu CAHN meraih kemenangan.
Meskipun beraksi di bahagian pertahanan, pemain berusia 29 tahun itu berhasil mencetak satu gol buat CAHN dalam saingan Piala Shopee ketika bertemu Lion City Sailors pada 26 September lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram