BEKAS penjaga gol Manchester City, Joe Hart memuji penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville yang dilihat sangat cekap mengawal gawangnya daripada dibolosi ketika bertugas untuk aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City pada 14 Julai tahun lepas.
Pujian tersebut diberi Hart ketika bekas pemain antarabangsa England berkenaan menjadi panel liputan siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Astro Supersports pada baru-baru ini.
Selain Somerville, video tersebut turut mengandungi aksi penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi Mohamed, Sikh Izhan Nazrel (Penang FC), Wan Azraei Wan Teh (Kuching City FC) dan Mohd Fikri Che Soh (Kelantan Darul Naim FC).
BACA LAGI: Manuel Ott optimis TFC muncul semifinalis, semakin padu bawah sentuhan bos no.1
BACA LAGI: Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City
Hart yang kini berusia 37 tahun itu menyifatkan ketangkasan penjaga gol warisan Malaysia-England berkenaan menepis dua percubaan berturut-turut pemain skuad Warga Kota sebagai sesuatu yang luar biasa.
Bukan itu sahaja, pemain yang memenangi dua trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut bersama Manchester City juga tidak teragak-agak memberi markah lima mata terhadap tindakan pantas Somerville.
“Persembahan Somerville itu saya beri lima markah. Saya amat sukakannya, ia satu aksi menyelamat yang bagus.
"Jadi, apabila bola masuk ke dalam kotak penalti, pemain lawan cuba menanduk ke bahagian gol yang lebih dekat," ujarnya.
“Penjaga gol akan mengagak pergerakannya dan sudah tentu akan cuba mendapatkan bola. Kemudian, bila beliau terduduk atas padang, beliau menepis bola itu keluar. Saya amat sukakan tindakannya," katanya menerusi video yang dimuat naik Astro Arena.
Hart merupakan legenda penjaga gol Man City. — Agensi
Pujian daripada Hart itu membuktikan bahawa Somerville masih mempunyai kemahirannya yang tersendiri walaupun kebelakangan ini kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor FC.
Aksi terakhir penjaga gol berusia 30 tahun itu diturunkan sebagai kesebelasan utama adalah ketika aksi final Piala FA, yang menyaksikan Selangor dibelasah 1-6 oleh Harimau Selatan.
Manakala Syihan pula mendapat tiga markah daripada Hart sambil memuji tindakan berani penjaga gol Harimau Selatan itu untuk keluar lebih awal menepis percubaan pemain dari Penang FC dalam aksi Liga Super pada 12 September tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram