[VIDEO] Bergson da Silva mesra bergambar bersama penyokong lawan, fans JDT cemburu tak dapat 'layanan sama' di SSI


  • Podium
  • Isnin, 20 Jan 2025

Bergson turut tersenarai antara penjaring dalam perlawanan menentang Terengganu pada Jumaat lalu.

SUKA atau tidak, Bergson da Silva kini dilihat antara penyerang terhandal dimiliki oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas pemergian pemain-pemain seperti Luciano Figueroa, Daniel Guiza, Juan Martin Lucero dan beberapa figura lain.

Kehadiran Bergson pada 2021 terus memberikan impak buat Harimau Selatan apabila bergelar penjaring terbanyak pada musim 2022 dengan 29 gol.

Musim ini juga Bergson sedang mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 gol ia sekali gus bakal menyamai rekod Ifedayo Olusegun ketika bersama Selangor FC apabila memenangi anugerah penjaring terbanyak sebanyak dua kali.

BACA LAGI: [VIDEO] Borrussia Dortmund, juara Piala Eropah antara 3 kelab berminat uji kelab Liga Super

BACA LAGI: Romel, Arif Aiman buat bek Terengganu pening kepala, fans geram taktikal 'backpass' Sang Penyu

Pemain berusia 34 tahun itu juga dikaitkan akan menyarung jersi Harimau Malaya selepas cukup tempoh lima tahun beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia.

Dengan kemampuan dan kehebatannya dalam Liga Super, ia pastinya memberikan kelebihan buat skuad kebangsaan untuk mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac ini.

Bersama JDT, Bergson telah mencatatkan 139 gol dan 26 'assist' dalam 127 penampilannya sejak 2021 yang mana ia merupakan rekod jaringan peribadi tertinggi pernah direkodkan bekas pemain Fortaleza Esporte Clube itu.

Namun di sebalik perkhabaran dan rekod baik bersama JDT, ada segelintir penyokong Harimau Selatan tidak berpuas hati layanan Bergson terhadap mereka di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Ini kerana tular video Bergson menyantuni penyokong-penyokong cilik Terengganu FC yang teruja melihat bintang-bintang Harimau Selatan di Stadium Gong Badak, Terengganu pada Jumaat lalu (17 Januari).

Bergson dilihat berhenti seketika untuk bergambar dan menurunkan beberapa tandatangan buat peminat Terengganu yang teruja melihat kelibat bakal pemain naturalisasi kebangsaan itu.

Dalam Facebook, JDT Fans Team seorang peminat mendakwa dia dihalau oleh pengawai bertugas meskipun merupakan penyokong setia JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Penyokong itu cemburu melihat peminat Terengganu dilayan dengan baik oleh Bergson meskipun mereka menyokong pasukan lawan.

"Aku IC 01 datang SSI pun tak dapat 'selfie' macam ini, selalu kena halau sahaja dengan 'security' (pegawai bertugas). Macam aku nak me*****n pula. Penyokong negeri lain siap berfoto bagai, sedih."

Untuk rekod, Bergson berjaya membantu JDT membawa bekalan selesa ke SSI selepas tersenarai antara penyumbang jaringan gol ketika menewaskan Terengganu dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024-2025 dengan keputusan 4-0 pada Jumaat lalu.

Selain Bergson, Arif Aiman Hanapi (dua gol) dan Romel Morales antara pemain yang berjaya mencatatkan nama selaku penjaring dalam aksi tersebut.

Selepas ini, JDT akan bertemu Terengganu dalam aksi Liga Super sebelum sekali lagi kembali melayani kunjungan Sang Penyu dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2024-2025 pada 1 Februari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram